PIYA sedang mencari pasukan baru untuk musim 2019. FOTO/FAIL
Zulfaizan Mansor
zulfaizan@nstp.com.my


BEKAS kapten Kelantan, Mohd Badhri Radzi bakal membuat kemunculan semula dalam kancah bola sepak tempatan bagi saingan musim depan.

Ejen kepada pemain berusia 36 tahun itu, Wan Mohd Anwari Wan Amran mengesahkan beliau dalam proses rundingan bersama salah satu pasukan Liga Super untuk membawa masuk Mohd Badhri atau lebih dikenali sebagai Piya.

Beliau bagaimanapun belum bersedia mendedahkan nama pasukan berkenaan bagi mengelak sebarang masalah kerana ia masih di peringkat awal.

“Memang ketika ini Piya sedang mencari pasukan baharu untuk musim 2019, sama ada dari Liga Perdana atau Liga Super.

“Kita sedang berunding dengan salah satu pasukan, tapi ia masih di peringkat awal. Bila sudah ada surat tawaran nanti saya akan umumkan.

“Jika rundingan itu tidak menjadi kenyataan, kita akan cari pasukan lain bagi memastikan Piya dapat beraksi semula dalam Liga M,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Piya menjadi salah satu watak penting ketika zaman kegemilangan The Red Warriors (TRW) termasuk merangkul kejuaraan Liga Super pada 2011 dan 2012, Piala FA (2012 dan 2013) dan Piala Malaysia (2010 dan 2012).

Namun Piya yang kembali menabur bakti kepada pasukan negeri kelahirannya itu sejak 2008 disisihkan daripada skuad TRW pada April lalu yang menyaksikan dia tidak beraksi dengan mana-mana pasukan hingga sekarang.

Sementara itu, Piya ketika dihubungi juga enggan mengulas lanjut mengenai pasukan baharu yang akan disertai, sebaliknya menunggu surat tawaran rasmi sebelum membuat sebarang pengumuman.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 September 2018 @ 5:16 PM