JURULATIH Kemboja, Keisuke Honda. FOTO AFP
Daripada Aziman Rosdi di Phnom Penh


JURULATIH Kemboja, Keisuke Honda melaungkan amaran betapa anak buahnya tidak gentar untuk berdepan Malaysia dalam aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Olimpik Nasional Phnom Penh, esok.

Walaupun baru enam hari melatih skuad Anchor Warriors selepas dilantik oleh Persekutuan Bolasepak Kemboja (FFC) bulan lalu, bintang Jepun itu percaya beliau memiliki pemain yang berpotensi besar.

“Kami tidak sabar untuk bertemu Malaysia. Kami sudah menjalani latihan dalam beberapa hari dan saya percaya kami memiliki pemain yang bagus, berpengalaman dan muda.

“Memang bukan mudah untuk meraih kemenangan ke atas Malaysia tapi kami tidak gentar. Saya jangkakan perlawanan yang sukar tapi akan cuba yang terbaik,” katanya dalam sidang media praperlawanan, hari ini.

Honda, 32, yang membantu Jepun merangkul kejuaraan Piala Asia 2011 membuat keputusan mengejut menerima kontrak untuk membimbing Kemboja.

Bagaimanapun beliau belum bersara sebagai pemain kerana menyertai kelab baru Melbourne Victory yang bakal memulakan kempen Liga Australia Oktober depan.

Kehadiran Honda, bekas pemain AC Milan yang menjaringkan gol dalam tiga kempen Piala Dunia 2010, 2014 dan 2018 mencetuskan fenomena baru dalam kancah bola sepak Kemboja.

Hampir 40,000 tiket bagi perlawanan esok sudah terjual setakat hari ini dan peminat tempatan meletakkan harapan tinggi untuk melihat Honda mendapatkan kemenangan ke atas Harimau Malaya.

“Saya mahu anda semua (penyokong) bertenang. Fokus utama adalah untuk memastikan pemain kita terus meningkat. Saya percaya kita memiliki pemain yang berpotensi,” katanya.

 

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 September 2018 @ 6:54 PM