X
SHAW menerima rawatan kecemasan ketika menentang Sepanyol. -Foto Reuters
SHAW menerima rawatan kecemasan ketika menentang Sepanyol. -Foto Reuters
Agensi

LONDON: Luke Shaw akan kembali ke pasukan perubatan Manchester United selepas meninggalkan skuad England, berikutan mengalami gegaran otak ketika tewas kepada Sepanyol di saingan Liga Negara-Negara Eropah.

Shaw dikeluarkan pada awal separuh masa kedua di Wembley selepas bertembung dengan pemain Sepanyol, Dani Carvajal sebelum ditahan untuk rawatan di St George Park.

Bagaimanapun, pertahanan kiri itu kini akan kembali ke United untuk rawatan lebih lanjut dengan pemain Leicester City, Ben Chilwell bakal menggantikan tempatnya, sementara Demarai Gray turut dipanggil menyertai skuad England.

Persatuan Bolasepak (FA) England dalam satu kenyataan berkata: “Luke Shaw kekal di St George Park hari ini untuk rawatan lanjut selepas mengalami gegaran otak ketika bertemu Sepanyol. Dia akan kembali ke kelabnya esok.”

Shaw bakal terlepas kunjungan United ke Watford, Sabtu ini dengan Liga Perdana Inggeris mempunyai peraturan yang ketat untuk kes gegaran otak apabila meletakkan syarat - pemain terbabit tidak dibenarkan menjalani latihan sehinggalah pulih sepenuhnya.

Kecederaan itu satu lagi kekecewaan untuk Shaw yang dilihat kembali kepada karier cemerlang selepas menempuh detik sukar apabila patah kaki ketika beraksi untuk United menentang PSV pada 2015.

Shaw diletakkan dalam kesebelasan utama pada siri jelajah United musim ini, termasuk menjaringkan gol ketika bertemu Leicester.

Dia kemudian diletakkan dalam kebelasan utama England ketika bertemu Sepanyol.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 September 2018 @ 1:37 PM