SILVA (kanan) jaring gol kemenangan Portugal ketika berdepan Itali awal pagi tadi. -Foto EPA
AFP

LISBON: Andre Silva menyumbat gol tunggal ketika juara Eropah, Portugal yang turun tanpa pemain bintang Cristiano Ronaldo, memulakan kempen Liga Negara Eropah dengan nota kemenangan 1-0 ke atas Itali di sini, awal pagi tadi.

Ronaldo, 33, diketepikan daripada skuad itu susulan permintaannya sendiri yang mahu fokus terhadap kelab barunya Juventus dalam liga Itali.

Namun juara Euro 2016 itu tidak menunjukkan tanda-tanda mereka kehilangan khidmat bintang serangan itu, mendominasi Itali untuk meraih tiga mata pertama mereka dalam Kumpulan 3 yang turut disertai Poland.

Jurulatih Itali, Roberto Mancini mengalami kekalahan kompetitif pertamanya selepas seri 1-1 dengan Poland pada aksi pembukaan di Bologna Jumaat lalu, dengan Azzurri hanya meraih satu mata selepas dua perlawanan.

“Kami melakukan terlalu banyak kesilapan, tapi pemain sudah memberikan segala-galanya,” kata Mancini.

“Kami perlu mencari jalan untuk menjaringkan gol kerana anda tidak menang tanpa menjaringkan gol. Itulah masalah utama kami ketika ini.

“Portugal menang aksi pertama mereka, jadi mereka menjadi pasukan pilihan, tapi saya fikir ia masih terbuka luas, anda tidak pernah tahu dalam bola sepak.”

Silva meledak tiga minit selepas rehat apabila penyerang AC Milan yang dipinjamkan ke Sevilla itu menyambut hantaran silang Bruma untuk mengatasi bekas rakan sepasukan Milan, Gianluigi Donnarumma di pintu gol Itali.

“Saya mempunyai ramai rakan dalam pasukan kebangsaan Itali, tapi mereka bukannya kawan di tengah padang,” kata Silva.

“Secara keseluruhan kami pasukan yang lebih baik malam ini dan berhak menang.”

Dalam kumpulan mengandungi tiga pasukan itu, Portugal akan bermain di Poland pada 11 Oktober depan, dengan Itali berdepan Poland sekali lagi pada 15 Oktober.

Jurulatih Portugal, Fernando Santos menafikan tanggapan mereka kini pasukan pilihan.

“Adakah kami sudah selangkah ke final? Kami perlukan kedua-dua langkah ke sana, kerana berdiri dengan satu kaki anda berdepan risiko terjatuh.”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 September 2018 @ 7:24 AM