OSMAN NOK


KUANTAN: Skuad silat Pahang bertekad merampas kembali status juara keseluruhan pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Perak sesudah gagal pada temasya di Sarawak dua tahun lalu.

Muncul juara keseluruhan dari 1996 hingga 2014, pertarungan di Dewan Jubli Intan, Kuala Kangsar akan menyaksikan kebangkitan pesilat negeri itu kali ini.

Setiausaha Persatuan Silat Negeri Pahang (PESAKA Pahang), Datuk Osman Nok berkata, kegagalan mempertahankan juara keseluruhan di SUKMA Sarawak akan ditebus 26 pesilat.

“Pada temasya kali ini, kami menyertai semua kategori dipertandingkan untuk merebut 26 pingat emas.

“Di Perak, kami sasarkan lima pingat emas dan tidak menolak kemungkinan akan mengatasi sasaran itu berdasarkan prestasi semasa pesilat,” katanya, hari ini.

Pada SUKMA Sarawak dua tahun lalu, tuan rumah Sarawak muncul johan keseluruhan acara silat.

Ditanya mengenai persediaan skuad itu, Osman berkata, semua pesilat kini menjalani latihan terakhir di Cameron Highlands sejak 1 September lalu dan berakhir esok.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 September 2018 @ 12:46 PM