Honda memberi arahan kepada pemain. FOTO EPA
Daripada Aziman Rosdi 

PHNOM PENH: Jurulatih baharu Kemboja, Keisuke Honda mengakui pemainnya perlu segera mengatasi masalah kecergasan jika mahu memberi saingan dalam Kejohanan Piala AFF bermula 8 November ini.

Pada penampilan pertamanya selepas dilantik sebagai pengendali skuad Angkor Warriors bulan lalu, bintang Jepun itu menyaksikan anak buahnya gagal mengekalkan rentak permainan apabila membenarkan Malaysia bangkit menewaskan mereka 3-1 pada aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Olimpik Nasional Phnom Penh semalam.

“Tiada pemain yang boleh berlari sepanjang 90 minit permainan, tidak kira pemain hebat Brazil atau Eropah sekalipun. Apa yang penting kita perlu tahu bagaimana nak bermain dengan baik ketika penat.

“Saya juga mengalami masalah ini sebelum ini, jadi kami perlu mengatasinya. Bagaimanapun saya berpuas hati kerana hampir 90 peratus apa yang saya arahkan, pemain mampu lakukan,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan itu.

Walaupun tewas, impak yang dicetuskan Honda, 32, jelas dapat disaksikan di dalam dan luar padang.

Tiket perlawanan hampir 40,000 habis dijual manakala semangat pemain juga berbeza apabila cukup mengancam pada separuh masa pertama sehingga berjaya mendahului satu gol menerusi percubaan Soeuy Visal sebelum Harimau Malaya bangkit dengan jaringan Shahrul Saad, Syazwan Andik dan Shahrel Fikri.

Honda yang belum bersara dan kini beraksi dengan kelab Australia, Melbourne Victory percaya pasukannya akan lebih mantap menjelang kempen Kumpulan A Piala AFF bertemu Malaysia, Laos, Vietnam dan Myanmar.

“Saya sudah mengesan kelemahan pasukan tapi ketika ini saya hanya mahu bercakap perkara positif. Kami bermain cukup baik pada 40 minit pertama tapi kami perlu mengekalkannya selama 90 minit.

“Semua pemain dahagakan kejayaan dan saya mahu membantu mereka,” kata bekas pemain AC Milan itu yang menjaringkan gol dalam tiga kempen Piala Dunia 2010, 2014 dan 2018 bersama Jepun.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 September 2018 @ 3:42 PM