Sathianathan yakin pemain akan sentiasa memberikan aksi terbaik. FOTo fail HM Digital
Syafiq Aznan


KUALA LUMPUR: Meskipun penganjuran Liga Negara-Negara Asia mungkin akan menyekat ‘keinginan’ jurulatih untuk melakukan eksperimen, namun bekas jurulatih skuad kebangsaan, B Sathianathan tidak melihat situasi itu sebagai satu masalah.

Sathianathan menegaskan, ini kerana jurulatih memiliki pengetahuan yang mendalam terhadap kemampuan barisan pemainnya, sekali gus membolehkan mereka merencana perancangan tanpa menjalankan sebarang ujikaji.

Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM) ini berkata, penganjuran saingan yang lebih kompetitif akan menyaksikan pemain sentiasa memberikan aksi terbaik kerana pasukan memiliki matlamat untuk menang setiap perlawanan.

“Jurulatih kenal pemain yang diperlukan dalam skuad kebangsaan. Secara mudahnya, mestilah pemain yang sedang berada dalam prestasi yang terbaik.

“Tanpa eksperimen sekalipun, saya kira jurulatih sudah tahu pendekatan yang perlu dilakukan untuk mendapatkan hasil memberangsangkan. Dengan aksi kompetitif sebegini, sudah pasti pemain akan memberikan aksi terbaik mereka.

“Walaupun hanya aksi persahabatan sekali pun, penyokong tetap mahukan kemenangan, jadi gunakan peluang ini sebaiknya untuk meraih keputusan yang positif,” katanya, hari ini.

Semalam, Sukan NSTP melaporkan penganjuran Liga Negara-Negara Asia yang akan menukar status perlawanan persahabatan kepada pertandingan kompetitif dilihat akan menyekat ‘keinginan’ jurulatih untuk menjalankan eksperimen ke atas pasukan mereka.

Pensyarah Kanan Sains Kejurulatihan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Zulakbal Abd Karim berkata, ketika setiap pasukan memburu tiga mata dalam setiap aksi, tentunya ada jurulatih yang enggan mengambil risiko untuk melakukan percaturan berbeza.

Katanya, aksi persahabatan yang sebelum ini menjadi medan untuk jurulatih menguji kemampuan pemain mungkin akan berubah, sekali gus menyebabkan ada pemain muda yang terpinggir dan tidak mendapat peluang.

Terdahulu, selepas Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) tampil dengan idea Liga Negara-Negara Eropah, format pertandingan sama yang mungkin akan dapat disaksikan di benua Asia selepas ini.

Ia susulan apabila AFC memberi bayangan badan induk itu bersedia mempertimbangkan untuk mengikut jejak langkah benua Eropah bagi meningkatkan lagi tahap kompetitif setiap perlawanan.

Setiausaha Agungnya, Datuk Windsor Paul John tidak menolak kemungkinan mengenai penganjuran Liga Negara-Negara Asia dengan mengikut format sama yang digunakan oleh UEFA, namun menjelaskan masih terlalu awal untuk membincangkan cadangan itu.

 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 September 2018 @ 4:23 PM