PENGURUS pasukan bola sepak Sukan Malaysia (SUKMA) Terengganu, Mohd Sabri Abas. FOTO Malik Muhamad
PENGURUS pasukan bola sepak Sukan Malaysia (SUKMA) Terengganu, Mohd Sabri Abas. FOTO Malik Muhamad
Malik Muhamad


KUALA TERENGGANU: "Kawal emosi, jangan ikut perasaan dan fokus apabila berdepan pasukan Wilayah Persekutuan petang esok," kata pengurus pasukan bola sepak Sukan Malaysia (SUKMA) Terengganu, Mohd Sabri Abas.

Beliau berkata demikian selepas kesal dengan insiden memalukan membabitkan pergaduhan pemain skuad Terengganu dan Johor di Stadium Universiti Pendidikan Sultan Idris Kampus Sultan Azlan Shah, Tanjung Malim petang semalam ketika perlawanan berbaki empat minit sebelum wisel penamat.

Mohd Sabri berkata, episod hitam itu dengan aksi ala 'kungfu' harus dilupakan segera pemainnya bagi memastikan impian untuk meraih pingat emas berhasil selepas kali terakhir merangkulnya pada 2010 di Melaka.

"Perlawanan bertemu Wilayah Persekutuan penting buat kami. Kami perlu menang bagi memastikan muncul juara peringkat kumpulan walaupun sudah layak ke suku akhir," kata Mohd Sabri.

Terengganu yang diwakili pemain skuad Piala Presiden yang menjuarai piala itu baru-baru ini menyasarkan kejuaraan ibu segala pingat itu buat kali keempat selepas muncul juara pada 2006, 2008 dan 2010.

Mengulas insiden itu, Mohd Sabri berkata, beliau tidak mahu menyalahkan pengadil 100 peratus sebaliknya provokasi dan aksi kasar daripada pemain lawan adalah antara penyebab aksi panas itu tercetus.

"Saya berpandangan jika tiada provokasi dan aksi kasar daripada pasukan lawan, insiden itu tidak akan berlaku hingga mengakibatkan pemain kami, Rahmat Makasur dan Shafawi Mohamad dilayangkan kad merah manakala dua pemain Johor juga dilayangkan kad merah iaitu Muhammad Hariz Kamaruddin dan Nur Ismail Sukandar.

"Bagaimanapun kami juga turut memberi ingatan kepada pemain Terengganu supaya bijak mengawal emosi dan amalkan semangat kesukanan yang tinggi," kata Mohd Sabri.

Dalam perlawanan itu, Terengganu berjaya menumpaskan lawan 2-1 hasil jaringan Mohd Ridzuan Mohd Razali dan Muhammad Izzan Syahmi Mustapa manakala gol saguhati Johor dijaringkan Mohamad Hariz.

 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 September 2018 @ 7:09 PM