X
LACAZETTE (kanan) dan Aubameyang dilihat mampu terus pacu serangan Arsenal. -Foto Agensi
LACAZETTE (kanan) dan Aubameyang dilihat mampu terus pacu serangan Arsenal. -Foto Agensi
AFP

NEWCASTLE: Gandingan Alexandre Lacazette dan Pierre-Emerick Aubameyang terus menjadi sandaran pengurus Arsenal, Unai Emery menggempur kubu Newcastle dalam usaha meneruskan momentum kemenangan.

Musim baru Liga Perdana baru sahaja masuk beberapa minggu tetapi Emery sudah mula terasa bahang sejak menggantikan Arsene Wenger di Emirates.

Gunners membuka tirai liga dengan kekalahan kepada Manchester City dan Chelsea sebelum mula bangkit membenam West Ham dan Cardiff.

Dua perlawanan itu menyaksikan Emery menurunkan penyerang Gabon, Aubameyang dan memasukkan penyerang Perancis Lacazette di separuh masa kedua.

Situasi sama turut berlaku dalam perlawanan ketiga menentang West Ham.

Lacazette masuk menggantikan Alex Iwobi di separuh masa kedua sekali gus memberi kesan kepada corak serangan di bahagian hadapan Gunners.

Arsenal lebih berbisa dengan kemasukan penyerang Perancis itu dan menang 3-1, kemenangan pertama Emery sebagai pengurus Gunners.

Kedua-dua penyerang itu digandingkan bersama dalam kesebelasan utama ktika menewaskan Cardiff 3-2 di tempat lawan dan kelincahan mereka sukar dibendung pertahanan tuan rumah.

Adakah gandingan mereka sekali lagi dikekalkan untuk merobek gawang Magpies di St James Park, esok?

Emery yang meletakkan Lacazette sebagai penyerang utama dan menolak Aubameyang ke sebelah kiri di Cardiff dijangka tidak mengekalkan sepenuhnya formasi 4-4-2 tetapi yang pasti beliau tidak akan meninggalkan salah seorang penyerang itu di bangku simpanan.

“Saya sangat puas hati dengan dua kemenangan terakhir dan gembira dengan prestasi kami,” katanya ketika ditanya mengenai barisan kesebelasan utama.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 September 2018 @ 8:11 AM