DIEGO SIMEONE
AFP

MADRID: Atletico Madrid dianggap salah satu pesaing utama untuk menjuarai La Liga musim ini namun selepas tiga perlawanan, prestasi mereka dilihat seperti tidak konsisten.

Mereka meraih keputusan seri ketika berkunjung ke Valencia sebelum mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Rayo Vallecano dan tewas 0-2 di tangan Celta Vigo tatkala Barcelona dan Real Madrid mencatat kemenangan ketiga berturut-turut mereka.

“Saya tidak bimbang,” kata jurulatihnya, Diego Simeone. “Saya lebih tenang kerana ia adalah isyarat kebangkitan, satu isyarat untuk lebih fokus.”

Keputusan itu juga bermakna Atletico kini ketinggalan lima mata dengan dua gergasi Sepanyol itu.

Dalam tempoh empat tahun ini, Atletico hanya menamatkan saingan masing-masing di tangga ketiga sejak 2014 hingga 2017 dan muncul naib juara bagi musim sebelum ini.

Mereka juga menjuarai Liga Europa dan mara ke pentas final Liga Juara-Juara namun tewas di tangan Real.

Apapun, mereka masih dibelenggu isu di bahagian pertahanan yang berterusan sejak menjuarai Piala Super menentang Real tatkala Diego Costa, Griezmann dan Lemar masih belum berada di tahap prestasi diinginkan.

“Kami sedikit kekurangan ketepatan pada penghujung permainan kami dan itulah sebabnya kami tidak menjaringkan gol ketika menentang Celta,” kata Simeone.

“Namun bagi saya, apa yang jelas permulaan ini adalah perkara terbaik yang boleh berlaku ke atas kami.”

 

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 September 2018 @ 8:15 AM