HAMILTON meraikan kemenangannya di GP Singapura selepas tamat perlumbaan. -Foto Reuters
Agensi

SINGAPURA: Lewis Hamilton memenangi Grand Prix Singapura sebentar tadi dengan dominasi tersendiri untuk menambah kelebihan dalam carta kejuaraan Formula Satu (F1) mengatasi Sebastian Vettel kepada 40 mata dengan berbaki hanya enam perlumbaan.

Pemandu Mercedes itu mendahului dari petak hadapan hingga bendera penamat dengan pemandu Red Bull, Max Verstappen ketinggalan lebih lapan saat di belakang dan pemandu Ferrari, Vettel di tangga ketiga.

Dalam perlumbaan di Litar Marina Bay Street, Hamilton sekali lagi menjadi bintang di bawah cahaya lampu limpah buat Mercedes.

Hamilton berjaya mengekalkan kelebihan sebelum menguruskan pertukaran tayar dengan sempurna dan menamatkan perlumbaan dengan satu hentian pit dan kelebihan 8.9 saat di depan pencabarnya.

HAMILTON mencium trofi yang dimenangi selepas menguasai GP Singapura. -Foto Reuters

Ketika Hamilton mudah mengekalkan kelebihan dimilikinya, pemandu tempat ketiga, Vettel terpaksa mengalah apabila cuba mengatasi Verstappen di selekoh 1, namun berjaya menyambar petak kedua hanya empat selekoh selepas itu. 

Vettel berjaya melepaskan diri sejurus sebelum jentera keselamatan keluar berikutan kemalangan membabitkan Esteban Ocon yang melanggar dinding selepas ‘dihentam’ rakan sepasukan Force India, Sergio Perez di selekoh 3 seterusnya menamatkan usaha pemandu Perancis itu menamatkan saingan.

Hamilton berjaya mengelak Vettel apabila perlumbaan dimulakan kembali selepas empat pusingan di belakang jentera keselamatan, mengawal perlumbaan dengan rentak perlahan sebelum memecut selepas pusingan ke-12 sehingga dia jelas mencipta ruang yang cukup bagi mencipta kemenangan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 September 2018 @ 10:38 PM