RONALDO (tengah) jaring gol pertama ketika menentang Sassuolo. -Foto AFP
AFP

MILAN: Bintang Portugal, Cristiano Ronaldo menjaringkan gol kompetitif pertama buat juara Itali, Juventus dan kemudian menambah jaringan kedua pada perlawanan keempat Serie A hari ini berdepan Sassuolo di Turin.

Pemain berusia 33 tahun itu meledak di garisan gol selepas kelam kabut di depan gawang pada minit ke-50 dan kemudian menambah gol kedua 15 minit kemudian bagi memberikan juara tujuh kali itu kelebihan 2-0.

Pemenang lima kali Ballon d’Or adalah pembelian terbesar pada musim panas dan tiba dengan nilai 100 juta euro (RM481.50 juta) dari Real Madrid.

Jurulatih Massimiliano Allegri berkata sebelum perlawanan dia tidak bimbang Ronaldo gagal menemui jaringan walaupun melakukan 23 cubaan ke gawang dalam tiga kemenangan dari tiga perlawanan pasukan itu setakat musim ini.

“Saya tidak menjangkakan Ronaldo akan melakukan lebih baik atau kurang berbanding apa dilakukannya dalam tiga perlawanan pertama,” kata Allegri.

“Saya percaya esok adalah harinya.”

Ronaldo menjaringkan 44 gol buat Real Madrid musim lalu termasuk 15 dalam Liga Juara-Juara seterusnya mendapatkan gelaran ketiga berturut-turut.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 September 2018 @ 11:29 PM