PASUKAN tenis Croatia meraikan kejayaan mara ke final Piala Davis selepas menewaskan Amerika Syarikat 3-2. FOTO Reuters
AFP

ZADAR, Croatia: Croatia akan berdepan Perancis pada final kejohanan tenis Piala Davis selepas menumpaskan Amerika Syarikat 3-2 menerusi kecemerlangan Borna Coric, awal pagi tadi.

Coric menewaskan pemain yang membuat kemunculan sulung dalam Piala Davis, Frances Tiafoe 6-7 (0/7), 6-1, 6-7 (11/13), 6-1, 6-3 dalam aksi penentuan untuk menamatkan perjalanan AS yang memberikan cabaran sengit sepanjang hujung minggu.

Ia final ketiga buat Croatia, selepas menjulang mahkota Piala Davis pada 2005 dan tewas kepada Argentina pada edisi 2016.

Menariknya, mereka turut berdepan Perancis pada final bola sepak Piala Dunia 2018 dengan kemenangan memihak kepada Les Bleus 4-2.

“Ini hari yang amat istimewa dalam hidup saya,” tegas Coric, pemain ranking ke-18 dunia kepada media selepas dilabel sebagai wira.

“Saya pernah meraih kemenangan lebih besar, tapi perasaan ini tidak boleh dibandingkan dengan kemenangan lain, apabila seluruh negara berada di belakang anda.”

Sementara itu, jurulatih Croatia, Zeljko Krajan berkata, mereka kini mempunyai ‘pasukan impian’ dengan tidak menafikan Perancis sebagai lawan yang kuat menjelang aksi final, November depan.

“Kami sudah tidak sabar menanti aksi final berdepan Perancis. Kami mempunyai kualiti dan peluang baik untuk menang walaupun Perancis hadir dengan status juara bertahan,” katanya.

Kemenangan itu turut melebarkan rekod kemenangan bersih Croatia ke atas AS kepada lima pertemuan Piala Davis.

Kejayaan Coric amat penting berikutan kejutan yang dilakar Sam Querrey yang menang 6-7 (2/7), 7-6 (7/6), 6-3, 6-4 ke atas pemain utama tuan rumah, Marin Cilic dalam perlawanan keempat menyaksikan pelawat kembali mengikat aksi 2-2.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 September 2018 @ 10:00 AM