PEMAIN Borussia Dortmund, Christian Pulisic (tengah) diraikan rakan sepasukan selepas meledak gol tunggal pasukan ketika menewaskan Club Brugge. FOTO Reuters
PEMAIN Borussia Dortmund, Christian Pulisic (tengah) diraikan rakan sepasukan selepas meledak gol tunggal pasukan ketika menewaskan Club Brugge. FOTO Reuters
AFP

BRUGES (Belgium): Christian Pulisic meraikan hari lahir ke-20 dengan penuh gaya apabila meledak gol pada penghujung perlawanan, bagi membantu Borussia Dortmund meraih kemenangan 1-0 ke atas Club Brugge dalam aksi Liga Juara-Juara, awal pagi tadi.

Pemain kebangsaan Amerika Syarikat (AS) itu meledak jaringan ‘bertuah’ itu dengan mengambil peluang daripada tindakan pertahanan Brugge, Matej Mitrovic yang cuba mengeluarkan bola dari kawasan gol, pada minit ke-85.

Tentunya ia adalah satu peluang yang berharga dan ia secara tidak langsung menamatkan kemarau 10 perlawanan tanpa kemenangan buat Dortmund dalam Liga Juara-Juara. 

“Pada akhirnya kami menang, tetapi jujurnya masih banyak ruang untuk meningkat,” akui kapten Dortmund, Marco Reus.

“Kami harus mengekalkan usaha gigih untuk bermain dengan lebih baik lagi.

“Ketika ini, kami tidak bermain bola sepak seperti mana dimahukan, tetapi akan meraih kemenangan dan kami akan mengambilnya.” 

Walaupun Pulisic meredakan tekanan Dortmund dalam penampilan ke-100 bersama kelab itu, ia adalah malam yang buruk buat Mario Goetze.

Pemain Jerman sedang bergelut itu diberi kepercayaan untuk diturunkan selepas hanya memanaskan kerusi simpanan pada tiga aksi Bundesliga musim ini, namun memainkan peranannya selaku pemain tengah dengan begitu hambar pada sejam pertama permainan. 

Bagaimanapun, Dortmund berpuas hati untuk meraih kemenangan di laman lawan, selepas gagal memenangi enam perlawanan peringkat kumpulan mereka musim lalu.

Ia juga kemenangan pertama mereka di Eropah selepas mara ke suku akhir pada musim 2016/17, namun mereka perlu menunjukkan peningkatan di laman sendiri apabila melayan kunjungan Monaco untuk aksi kedua Kumpulan A, dua minggu lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 September 2018 @ 8:18 AM