PEMAIN Arsenal meraikan jaringan ketika aksi menentang Newcastle. FOTO Reuters
Agensi

LONDON: Unai Emery menegaskan beliau tidak akan mengikut jejak langkah Arsene Wenger yang melayan Liga Europa sebagai kejohanan kelas bawah.

Emery yang membimbing Sevilla memenangi tiga gelaran berturut-turut kejohanan Eropah itu, merancang untuk menurunkan pasukan terkuat apabila Arsenal memulakan kempen menentang kelab Ukraine, Vorskla Poltava, Jumaat ini.

Dalam aksi pembukaan menentang Cologne musim lalu, Wenger melakukan sembilan pertukaran dalam kesebelasan utama, sekali gus memberi petanda kejohanan mana yang menjadi keutamaannya.

Emery percaya, ia adalah pendekatan yang silap dan walaupun mahu bersaing dalam Liga Perdana, beliau tidak akan mengorbankan Liga Europa.

"Saya sudah membuktikan, saya berpengalaman untuk menguruskan pemain," kata Emery.

"Sekarang apa yang penting saya perlu menang tiga mata dalam Liga Perdana Inggeris dan kemudian melakukan perkara sama untuk Liga Europa.

"Idea saya adalah untuk tidak melakukan banyak perubahan terhadap 11 pemain dalam satu kejohanan ke kejohanan yang lain."

Bagaimanapun jika mengambil kira kemenangan 2-1 Arsenal ke atas Newcastle United baru-baru ini, penyokong Gunners pasti mengharapkan Emery menurunkan Lucas Torreira dalam kesebelasan utama.

Meskipun menyerlah ketika beraksi sekejap menentang Cardiff City, pemain tengah itu tetap berada di bangku simpanan dalam aksi seterusnya di St James Park sekali gus menyaksikan dia belum pernah berada dalam kesebelasan utama sejak berpindah dari Sampdoria.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 September 2018 @ 11:24 AM