AKSI skuad negara ketika berdepan Jepun. -Foto Website MHC
Jugjet Singh


KUALA LUMPUR: Perlawanan di Stadium Hoki Marrara, Australia, semalam ibarat aksi ulangan buat skuad Malaysia yang mendahului permainan 3-1 sebelum terpaksa berkongsi mata dengan Jepun apabila keputusan berakhir 3-3.

Pertembungan di Kejohanan Antarabangsa Darwin itu bagaikan mengimbas pertemuan final Sukan Asia 2018 di Indonesia, baru-baru ini apabila Malaysia yang menghuni ranking ke-12 dunia mendahului permainan 5-2 sebelum Jepun (16) mengikat permainan 6-6 sebelum wisel penamat ditiupkan.

Ia kemudian menjadi pengakhiran mengecewakan buat skuad negara apabila tewas 1-3 dalam penentuan pukulan penalti sekali gus gagal membawa pulang pingat emas bersejarah di Sukan Asia selain tiket automatik ke Sukan Olimpik 2020.

Keputusan seri yang dicatatkan di Darwin hadir selepas kekalahan 2-5 kepada Australia pada aksi sebelum ini dengan skuad kendalian jurulatih Amin Rahim mempunyai tempoh rehat sehari sebelum bertemu pasukan nombor dua dunia, Argentina.

Menentang Jepun, Malaysia merehatkan enam pemain utama dan menyenaraikan pemain simpanan tetapi lawan turut membariskan enam muka baharu.

Murata Kazuma meletakkan Jepun di depan pada minit ke-11 tetapi Malaysia membalasnya dengan tiga gol menerusi kapten Razie Rahim pada minit ke-15 dan 21 serta Fitri Shaari (m27).

Begitupun, Jepun yang tewas 1-2 kepada Argentina pada aksi pertama berjaya menyumbat gol kedua menerusi Tanaka Seran (m45)  sebelum  Yamada Shota menyamakan kedudukan pada minit ke-59.

“Benar, ia amat mengecewakan kerana kedua-duanya berakhir seri (Sukan Asia dan Darwin) dan keputusan dinoktahkan dengan skrip yang sama. Perlawanan berubah apabila Razie (Rahim) menerima kad kuning lewat pada suku ketiga dan ia dibawa ke depan pada minit-minit awal suku keempat.

“Jepun mengambil peluang itu dan menghukum kami,” kata Amin yang mengendalikan skuad kebangsaan buat pertama kali.

Ketika ditanya mengenai enam muka baharu yang diturunkan Jepun: “Kami turut mempunyai enam pemain yang jarang diturunkan, tetapi sekali lagi, pemain yang beraksi di Sukan Asia patut dapat membimbing mereka tetapi ia tidak berlaku,” kata Amin.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 September 2018 @ 7:49 PM