PENGENDALI Juventus, Massimiliano Allegri. FOTO Reuters
AFP

VALENCIA: Jurulatih Juventus, Massimiliano Allegri percaya nasib Cristiano Ronaldo yang tampil kali pertama dalam kempen Liga Juara-Juara menentang Valencia pagi tadi mungkin lebih baik jika sistem Video Bantuan Pengadil (VAR) digunakan.

Ronaldo terpaksa menanggung sengsara apabila dilayangkan kad merah pada minit ke-29 di Estadio Mestalla, atas kesalahan mengasari pemain pertahanan Valencia Jeison Murillo.

Juve bagaimanapun masih berjaya memenangi perlawanan itu 2-0, hasil dua penalti yang disempurnakan oleh Miralem Pjanic.

Keputusan pengadil perlawanan dari Jerman, Felix Brych dilihat terlalu berat. Murillo cuba mengawal pergerakan Ronaldo dalam kotak penalti sehingga berlakunya kekasaran, di mana Ronaldo dilihat menyepak pemain lawan itu ketika jatuh.

Ronaldo kemudian memegang kepala Murillo untuk memintanya bangun semula.

Ketika ini, masih belum pasti bagaimana UEFA menilai kesalahan Ronaldo itu, namun dia sudah pasti akan terlepas sekurang-kurangnya perlawanan seterusnya di laman sendiri menentang Young Boys pada 2 Oktober.

Selepas itu, Juventus bakal berdepan perlawanan lebih mencabar menentang Manchester United.

“Apa yang saya boleh katakan bahawa VAR akan membantu pengadil membuat keputusan tepat,” kata Allegri selepas perlawanan itu.

“Beraksi dengan 10 pemain dalam perlawanan Liga Juara-Juara akibat insiden seperti ini amat mengecewakan. Kami berisiko tewas akibat insiden itu dan kami juga akan kehilangan khidmatnya untuk perlawanan selepas ini.”

UEFA sebelum ini menyatakan mahu melaksanakan penggunakan VAR di kejohanan utama kelab Eropah itu musim depan, selepas penggunaan teknologi itu berjaya digunakan dalam Piala Dunia pada musim panas lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 September 2018 @ 10:35 AM