PENGURUS Manchester United, Jose Mourinho (kanan) bersalaman dengan Paul Pogba ketika pemain itu dikeluarkan pada aksi Liga Juara-Juara menentang Young Boys. FOTO AFP
PENGURUS Manchester United, Jose Mourinho (kanan) bersalaman dengan Paul Pogba ketika pemain itu dikeluarkan pada aksi Liga Juara-Juara menentang Young Boys. FOTO AFP
Reuters

BERN: Pengurus Manchester United, Jose Mourinho memuji kapten, Paul Pogba dan pemain pertahanan, Luke Shaw serta Diogo Dalot yang menyerlah ketika menang 3-0 ke atas pasukan baharu, Young Boys Bern dalam saingan Liga Juara-Juara, pagi tadi.

Pemain skuad juara Piala Dunia Perancis, Pogba menjaringkan dua gol dan membantu Anthony Martial menambah gol ketiga pasukan pada aksi pembukaan saigan elit Eropah pada musim ini.

Manakala Shaw dan Dalot yang berusia 19 tahun memberikan persembahan bertenaga walaupun membuat penampilan pertama di kejohanan elit Eropah itu.

“Saya fikir Pogba sedikit kepenatan pada penghujung perlawanan tapi (dia) pemain yang ada ‘kelas’,” kata Mourinho kepada BT Sport.

“Dia memberikan kepantasan yang diperlukan pasukan, mengekalkan penguasaan bola dan mengawal tempo permainan. Gol yang dihasilkannya bagus dan mempamerkan kekuatan personaliti ketika menyempurnakan sepakan penalti.”

Pogba membuka tirai jaringan menerusi rembaran kaki kiri pada minit ke-35, sebelum tenang mengambil sepakan penalti pada minit ke-44.

Dia ‘membelah’ benteng pertahanan Young Boys dengan hantaran bijak untuk Martial mudah menjaringkan gol ketiga pada minit ke-66.

Pemain yang baru dibawa masuk pada musim panas lalu, Dalot tidak beraksi pada awal kempen akibat kecederaan lutut, tetapi dalam perlawanan ini, dia cemerlang membantu serangan dengan melakukan beberapa hantaran lintang dari kanan.

Shaw sering dikritik oleh Mourinho musim lalu kerana prestasi hambar di sebelah kiri, tetapi kini sudah menemui keyakinan dan beraksi konsisten.

“Saya fikir Dalot beraksi sangat baik, tetapi saya lebih berminat untuk bercakap mengenai dua pemain sayap pertahanan saya,” kata Mourinho.

“Shaw bermain seperti apa yang dipamerkan sejak mula musim ini. Dalot adalah antara seorang bek kanan terbaik di Eropah. Masih banyak masa lagi dia bersama Manchester United.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 September 2018 @ 11:35 AM