PENGURUS West Ham United, Manuel Pellegrini. FOTO AFP
Reuters

LONDON: Ramai yang sangsi dengan kemampuan Maurizio Sarri yang kurang mendapat sambutan ketika tiba di Stamford Bridge pada Julai lalu, dengan misi untuk mengembalikan semula status Chelsea sebagai kelab handalan Liga Perdana.  

Selepas menang dalam kesemua lima perlawanan dan Chelsea kini menduduki tangga teratas liga, pengendali dari Itali itu sudah mula memenangi hati peminat The Blues meskipun perjalanan masih panjang untuk memenangi gelaran.

Berbeza dengan apa yang dialami pengurus Chile, Manuel Pellegrini yang berdepan situasi lebih sukar untuk memulihkan semula prestasi buruk West Ham.

Meskipun Pellegrini membelanjakan lebih AS$125 juta (RM517 juta) pada tempoh perpindahan lalu, empat perlawanan yang dilalui berkesudahan dengan kekalahan dan penyokong di Stadium London mula ‘kepanasan’.

Bagaimanapun beliau meredakan sedikit ketegangan itu selepas West Ham mencatat kemenangan 3-1 di Everton minggu lalu, dan kini memasang hajat untuk menjadikan Chelsea mangsa pertama mereka di laman sendiri.

Ketika Pellegrini bergelut untuk membentuk keserasian pasukannya, Sarri pula tenang mengatur gaya permainan Chelsea dengan hanya pertambahan beberapa pemain baharu bagi memperkuatkan pasukan yang dikendalikan Antonio Conte selama dua musim.

Daripada 11 pemain dalam kesebelasan utama menentang Cardiff City minggu lalu, hanya tiga pemain belum ada di Stamford Bridge pada musim lalu.

Penjaga gol, Kepa Arrizabalaga dan pemain pinjaman, Mateo Kovacic tidak ada masalah untuk menyesuaikan diri dengan pasukan, manakala Jorginho yang bersama dengan Sarri di Napoli sebelum ini pantas menjadi ‘enjin’ kepada bahagian tengah Chelsea.

Sarri bukanlah pengurus Chelsea pertama yang memenangi lima perlawanan awal Liga Perdana pada tahun pertama, kerana rakan senegara, Carlo Ancelotti pernah melakukannya pada musim 2009-2010 dan berjaya merangkul gelaran dengan mengumpul 103 jaringan.

Namun, itu bukan jaminan untuk Sarri berasa selesa kerana West Ham bakal menjadi ujian besar mereka apabila pemain pertahanan, Pablo Zabaleta percaya mereka boleh melakukan kejutan di London.

“Chelsea memiliki banyak kualiti, tetapi jika kami bermain dengan tahap intensiti dan konsentrasi seperti ketika menentang Everton, siapa akan tahu nanti?. Apa saja boleh berlaku terutama ketika bermain di tempat sendiri,” katanya.

“Bertemu Everton, kami perlu cepat bertindak. Kami berjaya melakukannya dan membuktikan kami boleh menang jika kami bermain cara seperti itu,” kata Zabaleta.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 September 2018 @ 12:26 PM