VIRGIL VAN DIJK
Reuters

LIVERPOOL: Virgil van Dijk meramalkan Liverpool mampu menjadi pencabar kepada mana-mana pasukan dalam empat kejohanan musim ini tetapi pada masa yang sama mahu rakan sepasukan kekal merendah diri jika mahu menamatkan kemarau enam tahun tanpa trofi.

Kelab Merseyside itu menang kesemua enam perlawanan musim baru ini termasuk kemenangan dramatik 3-2 ke atas Paris St Germain dalam aksi pembukaan Liga Juara-Juara.

Van Dijk yang tiba di Anfield dari Southampton pada Januari lalu tegas menyatakan rekod bersih mereka setakat ini hanyalah permulaan kepada kejayaan kelab untuk menamatkan kemarau trofi yang kali terakhir dicapai sejak menjulang Piala Liga 2012.

“Kami mahu berentap dalam semua kejohanan seperti kami lakukan tahun lalu dan kami mahukan yang terbaik kali ini,” kata pertahanan dari Belanda itu kepada media British.

“Semua orang gembira dan mahu menjadi sebahagian daripadanya. Anda pun tahu musim ini sangat panjang, kami ada empat kejohanan dan mahu menang semuanya.”

Walaupun menunjukkan peningkatan selepas kedatangan Juergen Klopp pada 2015, Liverpool tewas tiga aksi final sejak pengendali dari Jerman itu mengambil alih tugas sebagai ketua jurulatih.

“Musim ini baru bermula dan kami melakukannya dengan baik sekali. Kami tak boleh mengambil mudah, terus bekerja keras dan merendah diri.”

Liverpool menerima kunjungan bekas kelab Van Dijk, Southampton pada Sabtu ini sebelum menentang Chelsea dalam perlawanan tumpuan pusingan ketiga Piala Liga pada Rabu depan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 September 2018 @ 7:02 PM