SANTOS (tengah) mungkin beraksi di suku akhir pertama Piala Malaysia. -Foto fail
SANTOS (tengah) mungkin beraksi di suku akhir pertama Piala Malaysia. -Foto fail


KUALA LUMPUR: Pengendali Kelantan, Yusri Che Lah masih mencongak sama ada menurunkan Shafiq Shaharuddin atau pemain import, Cristiano Santos bagi menggempur kubu Sabah pada suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Sultan Mohamad Ke-IV, malam esok.

Yusri berkata, selain mengkaji kekuatan dan kelemahan benteng lawan, beliau mahu memastikan penyerang yang akan diturunkan mampu melaksanakan tugas dengan berkesan.

“Sabah mempunyai benteng kental dan sukar diatasi terutama pertahanan importnya (Francis Kasonde) dan pemain skuad kebangsaan, Rawilson Batuil yang menjadi tulang belakang pasukan itu.

“Saya sudah mengkaji permainan kedua-dua pemain itu dan diakui memang menjadi satu cabaran besar kepada mana-mana penyerang untuk melepasi kawalan mereka.

“Untuk itu, saya akan merangka strategi untuk menembusi benteng Sabah dan perlu memastikan pemain yang diturunkan mampu melaksanakan misi itu.

“Jadi, sama ada Shafiq atau Santos, saya hanya akan membuat keputusan pada saat akhir. Apa yang pasti hanya salah seorang saja akan diturunkan dalam kesebelasan utama sementara seorang lagi akan bertindak sebagai pengganti bila diperlukan,” jelas Yusri.

Pada aksi terakhir kumpulan yang menyaksikan mereka mengalahkan Kedah 2-0, Ahad lalu, Yusri menurunkan Shafiq dalam kesebelasan utama sambil Santos masuk pada babak kedua.

Jurulatih itu mengakui agak bimbang dengan prestasi pemain serangannya yang tumpul apabila hanya menjaringkan tiga gol sepanjang enam perlawanan peringkat kumpulan.

“Suku akhir perhitungan berbeza kerana ia perlawanan kalah mati. Untuk mara, kami perlu menang dan untuk menang pula, kami perlu jaringkan gol.

“Walaupun rekod pertahanan kami bagus apabila hanya melepaskan tiga gol sepanjang Piala Malaysia setakat ini, namun di peringkat ini ia tidak memadai jika kami tidak menjaringkan gol,” katanya.

Yusri juga belum memutuskan pemain yang akan mengisi tempat Haziq Puad selepas pemain itu tidak diturunkan kerana menjalani penggantungan satu perlawanan susulan mengumpul tiga kad kuning.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 September 2018 @ 6:53 PM