PENGURUS Arsenal, Unai Emery. FOTO Reuters
AFP

LONDON: Bos Arsenal, Unai Emery memberi amaran kepada barisan bintangnya supaya mengukuhkan jentera pertahanan yang longlai, menjelang pertembungan dengan Everton dalam saingan Liga Perdana Inggeris, esok.

Skuad kendalian Emery meneruskan deretan kemenangan kepada empat perlawanan dalam semua kejohanan, selepas menewaskan Vorskla Poltava 4-2 dalam kempen Liga Europa, semalam.

Gunners mendahului permainan dengan empat gol menerusi dua jaringan Pierre-Emerick Aubameyang dan Danny Welbeck serta Mesut Ozil.

Begitupun, Emery berang apabila Arsenal mula lalai apabila memasuki minit-minit akhir permainan dengan membenarkan kelab kerdil, Vorskla meledak dua kali.

Ia jelas satu kekecewaan yang panjang buat Arsenal yang gagal untuk mengekang gawang mereka daripada dibolosi sejak diambil alih Emery sepanjang enam perlawanan.

Arsenal mengharungi kesukaran di bahagian pertahanan sejak era Arsene Wenger, dengan Emery cuba melakukan sesuatu dengan memberi penampilan sulung kepada penjaga gol baharu, Bernd Leno manakala pertahanan tengah dijana Sokratis Papastathopoulos.

Setakat ini, rancangan yang dilakukannya belum benar-benar membuahkan hasil, jadi pengurus dari Sepanyol itu mahu pasukannya menunjukkan kematangan dan belajar daripada kesilapan.

“Ia kekecewaan kami. Sedikit demi sedikit, kami melepaskan beberapa peluang kepada lawan, perkara yang sama berlaku di Newcastle,” kata Emery.

“Tetapi kami terus memperbaikinya kerana ia berlaku pada minit-minit terakhir di Newcastle dan sekali lagi hari ini pada 20 minit terakhir, kami melepaskan dua gol.

“Cabaran kami adalah untuk menjadi kompetitif sepanjang 90 minit dalam setiap perlawanan dan ia satu perkara yang perlu kami perbaiki.” 

Sekali pun Emery melakukan lapan pertukaran dalam kempen Liga Europa bagi memberi tumpuan terhadap kunjungan Everton ke Emirates, pengendali itu tidak percaya ia sepatutnya dijadikan alasan. - AFP

 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 September 2018 @ 8:13 AM