SIKH Izhan Nazrel Sikh Azman. FOTO arkib NSTP
Zulfaizan Mansor


PENJAGA gol skuad bawah 16 (B-16) tahun negara, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman digantung satu perlawanan dan denda AS$500 (RM2,066) susulan kekasaran yang dilakukan ke atas pemain Tajikistan pada aksi Kumpulan A Kejohanan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Khamis lalu.

Penggantungan itu termasuk penggantungan satu perlawanan automatik akibat daripada kad merah yang diterima pada penghujung perlawanan terbabit yang menyaksikan Tajikistan dihadiahkan sepakan penalti.

AFC dalam satu kenyataan menjelaskan penggantungan itu berkuat kuasa bagi aksi kedua kumpulan antara Malaysia dan Thailand yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, hari ini.

"Denda perlu dijelaskan dalam tempoh 30 hari dari tarikh keputusan ini dikeluarkan dan ia mengikut Artikel 11.3 Kod Etika dan Disiplin AFC.

"Sikh Izhan akan dikenakan tindakan lebih tegas sekiranya mengulangi kesilapan sama," kata AFC.

Sikh Izhan dilihat mengasari pemain Tajikistan di bahagian dada menggunakan kaki ketika mencabar bola tinggi, namun perlawanan itu berkesudahan dengan kemenangan 6-2 memihak Malaysia.

Malah, ketua jurulatih negara, Lim Teong Kim tidak meletakkan sepenuhnya kesalahan ke atas Sikh Izhan dan menyifatkan ia hanya kesilapan dilakukan pemain di peringkat usia muda.

Ketiadaan Sikh Izhan menyaksikan Teong Kim menurunkan Abdul Alim Al Imri Ali sebagai penjaga gawang bagi aksi berdepan Thailand.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 September 2018 @ 6:29 PM