RONALDO (tengah) bantu Bernardeschi jaring gol kedua Juventus untuk benam Frosinone 2-0. -Foto AFP
AFP

MILAN: Cristiano Ronaldo memadam kekecewaan kad merah di Liga Juara-Juara apabila meledak gol pembukaan dan mencipta umpanan untuk jaringan Federico Bernardeschi ketika Juventus menewaskan Frosinone 2-0, awal pagi tadi.

Kemenangan ke atas kelab baharu dinaikkan pangkat ke kancah elit itu turut mengekalkan rekod sempurna juara Itali itu dalam saingan Serie A selepas lima perlawanan.

Bintang Portugal itu beberapa kali memberi ancaman di Stadium Benito Stirpe tetapi gol yang dicari hanya hadir sembilan minit sebelum permainan berakhir sebelum dia membantu pemain gantian, Bernardeschi meledak gol kedua Juve pada masa kecederaan.

Pemenang lima kali anugerah Ballon d'Or itu meledak gol pertamanya dalam Serie A menerusi kemenangan 2-1 ke atas Sassuolo, minggu lalu sebelum dia diarah keluar padang ketika Juve menewaskan Valencia 2-0 dalam kempen Eropah.

Juventus yang menjadi satu-satunya pasukan belum tewas di Serie A ketika ini mengumpul 15 mata maksimum daripada lima perlawanan, tiga mata di depan Napoli yang menewaskan Torino 3-1 pada aksi lebih awal.

“Kami menjangkakan perlawanan yang sukar. Frosinone sudah melepaskan lima gol kepada Sampdoria dan kami bermain dengan 10 pemain sepanjang 70 minit menentang Valencia pada Khamis,” kata jurulatih Juve, Massimiliano Allegri .

“Kami hanya memerlukan kesabaran dan selepas begitu banyak rembatan, hantaran, kami berjaya mencari jalan.”

Juventus yang juga juara tujuh kali dijadual bertemu naib juara musim lalu, Napoli Sabtu ini di Turin dengan Fiorentina dan Sassuolo berkongsi tangga ketiga selepas masing-masing mengumpul 10 mata.

Fiorentina menewaskan SPAL 3-0 manakala Sassuolo mencatat kemenangan 3-1 ke atas Empoli minggu ini.

Sementara itu, derita AS Roma berpanjangan apabila tewas 0-2 kepada Bologna sekali gus meningkatkan tekanan terhadap jurulatihnya, Eusebio Di Francesco.

Kekalahan menyaksikan Roma yang mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara musim lalu mengharungi empat perlawanan liga tanpa kemenangan dan menghuni tangga ke-14 liga selepas mengumpul lima mata.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 September 2018 @ 7:24 AM