ROGER FEDERER
ROGER FEDERER
AFP

CHICAGO: Roger Federer kembali bangkit daripada kekalahan dalam acara beregu dengan menewaskan John Isner 6-7 (5/7), 7-6 (8/6), 10/7 sekali gus membolehkan Pasukan Eropah di ambang kejayaan Piala Laver, pagi tadi.

Pemain nombor dua dunia itu tewas di set pertama ketika menentang Isner namun kembali mendapatkan momentum pada set seterusnya dengan mempamerkan permainan lebih kemas untuk menewaskan lawannya dari Amerika Syarikat itu yang terkenal dengan servis kencang dalam aksi di Pusat Tenis Chicago United.

Kemenangan Federer itu membolehkan Eropah mendahului Pasukan Dunia 10-8 dengan dua lagi aksi perseorangan bakal berlangsung.

Satu lagi kemenangan sudah cukup buat Eropah mengekalkan trofi yang dimenangi di Prague tahun lalu.

Kemenangan itu juga membuktikan keadaan fizikal Federer semakin pulih. Pemain berusia 37 tahun dari Switzerland itu mengatasi cabaran Isner dalam masa kurang sejam selepas dia tewas dalam acara beregu pada hari pembukaan.

Federer dan gandingannya dari Jerman Alexander Zverev tewas 4-6, 7-6 (7/2), 11/9 kepada Isner dan pasangannya Jack Sock.

Isner dan Sock menyelamatkan dua mata akhir dalam super tiebreaker sebelum memenangi perlawanan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 September 2018 @ 7:33 AM