PETR CECH
AFP

LONDON: Unai Emery menghambur pujian terhadap Petr Cech selepas penjaga gol Arsenal itu tampil dengan persembahan menakjubkan ketika Gunners menewaskan Everton 2-0, awal pagi tadi.

Skuad kendalian Emery mengekang serangan bertali arus Everton pada babak pertama aksi di Emirates tetapi Cech muncul dengan watak wira apabila melakukan beberapa siri aksi menyelamat hebat.

Selepas berjaya menghalang deretan serangan Everton di awal permainan, Gunners mengesahkan kemenangan keempat berturut-turut dalam kempen Liga Perdana Inggeris menerusi gol Alexandre Lacazette dan Pierre-Emerick Aubameyang.

Ketika prestasi jentera serangan Arsenal tampak boleh dipuji, Emery begitupun lebih gembira dengan keputusan tanpa bolos yang diperoleh pasukannya buat pertama kali pada musim ini.

Keputusan Emery menggantikan Cech dengan Bernd Leno pada aksi Liga Europa menentang Vorskla Poltava, minggu lalu mencetus spekulasi mengenai masa depan penjaga gol veteran itu tetapi dia yang memakai lilitan kapten membalas kepercayaan itu menerusi persembahan hebat.

“Kami amat gembira dengan prestasi penjaga gol. Petr memiliki pengalaman yang dan kualiti yang hebat. Dia memulakan musim ini dengan amat baik,” kata Emery.

“Prestasinya adalah seperti yang kami harapkan dan hari ini dia menunjukkan kepada kami dengan amat baik. Saya terkejut kerana ada begitu banyak persoalan terhadap Cech, kerana pada pramusim dan perlawanan pertama dia bermain dengan baik.

“Leno seorang yang tenang. Dia tahu dia bermain dengan baik tetapi Petr Cech juga beraksi dengan baik. Leno akan terus meningkat dan belajar bersama kami. Dia memiliki masa depan yang cerah.”

Cech, 36, mengakui Everton mencipta banyak peluang pada perlawanan berkenaan di babak pertama tetapi kesemua pemain bekerjasama dengan baik.

“Saya gembira dengan prestasi dan juga keputusan tanpa bolos. Banyak yang perlu saya lakukan hari ini dan saya perlu membantu pasukan kekal dalam persaingan. Sebagai pemain berpengalaman, kamu perlu melakukan tugas kamu.”

Kemenangan menyaksikan Arsenal mendaki ke tangga keenam liga selepas mengumpul 12 mata daripada enam perlawanan dengan dua kekalahan yang dicatatkan adalah pada permulaan kempen di bawah kendalian Emery.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 September 2018 @ 7:38 AM