HADI pada sesi latihan bersama pasukan senior Fagiano Okayama di Padang Latihan Masada, Okayama, semalam. FOTO/Yakult Malaysia
Syafiq Aznan
syafiq.aznan@nstp.com.my


SEMANGAT penyerang skuad bawah 19 (B-19) tahun negara, Hadi Fayyadh Abdul Razak kini membara selepas mengakhiri sesi latihan dan percubaan bersama pasukan senior Fagiano Okayama, semalam.

Hadi yang menjalani latihan seminggu bersama pasukan yang beraksi dalam divisyen dua Liga Jepun (J2) itu berjaya menunjukkan prestasi yang memberangsangkan sekali gus mendapat pujian rakan sepasukan.

Justeru, segala pengalaman yang diperoleh sepanjang berada di Jepun termasuk ketika bersama Roasso Kumamoto sebelum ini akan digunakan sepenuhnya untuk membantu skuad B-19 mara ke Piala Dunia Bawah 20 (B-20) di Poland, tahun depan.

“Bermain di sini bukan satu perkara yang mudah tetapi saya dapat menyesuaikan diri dengan baik bersama mereka. 

“Walaupun mereka berada di tahap yang lebih tinggi dari Malaysia, namun mereka sentiasa membantu saya sepanjang sesi latihan berlangsung. 

“Sememangnya, banyak yang saya pelajari di sini dan saya berazam untuk memberikan fokus kepada Kejuaraan B-19 Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2019 pada bulan depan yang menawarkan tiket ke Piala Dunia B-20,” katanya.

Mengulas lanjut pengalamannya bersama pasukan berpangkalan di Okayama itu, Hadi menyifatkan ia sebagai satu cabaran yang menarik dan mengharapkan ada ruang untuknya terus bersama pasukan itu pada masa akan datang.

“Saya gembira dengan pengalaman ini dan harap diterima dalam pasukan ini. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Pengarah Urusan Yakult (M) Sdn Bhd, Hiroshi Hamada kerana membantu sepanjang saya berada di sini,” katanya.

Untuk rekod, Yakult (M) Sdn Bhd adalah penaja kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan satu sen akan disumbangkan kepada pembangunan bola sepak negara daripada setiap satu botol Yakult yang dijual.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 September 2018 @ 5:26 PM