PEMAIN Perak Brendan Seng Ling Gan (kanan) melepaskan rembatan ke gawang gol pasukan PKNS FC sambil dihalang pemain Zachary Michael (kiri) pada aksi di Stadium Perak. FOTO Bernama
Azizan Hashim 

 

 

IPOH: Impian Perak mencari bekalan bagi pertemuan kedua di Shah Alam, Ahad ini tidak kesampaian apabila diikat PKNS FC 0-0 dalam saingan suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Perak, sebentar tadi.

Walaupun berusaha gigih untuk mencari kemenangan, anak buah Mehmet Durakovic mendapati lawan 'liat' dan terus menjadi badi kepada The Bos Gaurus. 

Malah PKNS mengancam dari sepak mula dan mendapat peluang apabila dihadiahkan sepakan percuma seawal minit kedua tetapi sepakan  Muhammad Nurridzuan Abu Hassan tersasar di sebelah kanan. 

Taktik kawalan ketat pasukan Semut Merah ke atas Gilmar Da Silva menyaksikan Mohd Nor Hakim dan Mohd Firdaus Saiyadi berusaha gigih. 

Peluang terbaik tuan rumah muncul pada minit ke-20 tetapi Brendan Gan merembat tinggi hantaran lintang Gilmar. 

Babak kedua  menyaksikan penguasaan tuan rumah dan Wander Luiz hampir memecah kebuntuan tetapi tandukannya diselamatkan penjaga gol, Muhammad Zarif Irfan pada minit ke-55.

Lapan minit kemudian Leandro Dos Santos pula merembat melepasi palang. 

Walaupun Perak terus mengasak tetapi benteng anak buah K Rajagopal berjaya bertahan sehingga wisel penamat. 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 September 2018 @ 11:41 PM