IRFAN (dua dari kanan) lega dengan kebangkitan anak buahnya pada babak kedua di Kuala Terengganu, malam tadi. - FOTO/IMRAN MAKHZAN
Malik Muhamad


JURULATIH Terengganu FC (TFC), Irfan Bakti Abu Salim memberikan Gred A kepada pemainnya yang bangkit daripada ketinggalan sebelum menang pada suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam tadi.

Malah Irfan yang layak digelar pakar taktikal mengakui kekuatan mental anak buahnya menjadi pencetus utama kebangkitan itu biarpun pada awalnya ketinggalan 0-2 hingga awal babak kedua sebelum menang 4-3 sekali gus layak 6-4 secara agregat.

“Satu kebangkitan yang begitu dramatik biarpun pada awalnya ketinggalan dua jaringan pantas pasukan lawan pada setiap babak selain diasak dari segenap penjuru gol.

“Apa yang boleh saya katakan mental pemain malam ini begitu kuat untuk bangkit memadam kelebihan itu dan saya puji sikap pemain yang tidak berputus asa hinggalah berjaya layak ke separuh akhir,” kata Irfan.


PENYOKONG setia Terengganu FC gembira selepas pasukan mereka layak ke separuh akhir Piala Malaysia. - FOTO/IMRAN MAKHZAN

Pada perlawanan itu, pemain kelahiran England, Lee Tuck, Adib Aizuddin Latif, Malik Mat Ariff dan kapten Kipre Tchetche masing-masing meledak satu gol buat TFC manakala jaringan The Fighters dihasilkan Thiago Junio, Syamim Yahya dan Gilberto Fortunato.

Bagaimanapun Irfan mengakui beliau bagaikan tidak percaya persembahan anak buahnya yang gagal memperagakan aksi sebenar pada babak pertama walaupun bermain di gelanggang sendiri.

“Babak pertama kami banyak hilang bola walaupun pemain FELDA United turun ke bawah tapi pemain kami tidak berani pegang bola dan minta bola menyebabkan pergerakan terputus dan lawan menunggu peluang itu untuk menghasilkan jaringan.

“Pemain tidak tertekan pada babak pertama tapi mereka gagal mempamerkan aksi seperti biasa, namun kemasukan Malik dan Faiz Nasir pada separuh masa kedua mengubah corak permainan,” ujar Irfan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 September 2018 @ 1:31 PM