ALCACER (dua dari kanan) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan ketika berdepan Leverkusen. -Foto EPA
ALCACER (dua dari kanan) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan ketika berdepan Leverkusen. -Foto EPA
AFP

BERLIN: Pemain baru Paco Alcacer tampil dari bangku simpanan untuk meledak dua gol lewat dan membantu Borussia Dortmund menang bergaya 4-2 di Bayer Leverkusen awal pagi tadi sekali gus menyingkirkan Bayern Munich di puncak carta Bundesliga.

Alcacer, dipinjamkan dari Barcelona hingga Jun depan, masuk selepas 63 minit ketika pasukannya ketinggalan 0-2 namun menjaringkan gol pada minit ke-85 dan 94 bagi melengkapkan kebangkitan itu selepas Dortmund menyamakan kedudukan.

“Ia amat menyeronokkan pada akhirnya. Gembira untuk berada di puncak, ia permulaan bagus musim ini,” kata ketua jurulatih Dortmund, Lucien Favre.

Selepas Bayern mengalami kekalahan mengejut 0-2 di Hertha Berlin kelmarin, Dortmund memerlukan minit-minit akhir untuk melonjak ke puncak dengan penuh dramatik.

Tuan rumah Leverkusen mendahului selepas hanya sembilan minit apabila pemain tengah Mitchell Weiser merembat masuk gol mengagumkan dari luar kotak penalti manakala pemain pertahanan Jonathan Tah mengukuhkan kedudukan sejurus sebelum rehat.

“Jelas kami perlu bertindak balas,” kata kapten Dortmund, Marco Reus selepas pasukannya menyamakan kedudukan dengan dua gol dalam tempoh empat minit.

Pemain tengah Denmark, Jacob Bruun Larsen, 20, menyepak masuk gol pertama pada minit ke-64.

Pemain remaja kebangsan England, Jadon Sancho masuk sebagai pemain gantian dan seminit kemudian menghasilkan umpanan buat Reus untuk merembat masuk gol kedua pada minit ke-68.

Dortmund mendahului buat kali pertama pada minit ke-85 apabila Alcacer menyudahkan hantaran silang pertahanan Achraf Hakimi, pemain yang dipinjamkan dari Real Madrid.

Alcacer melengkapkan gaya penamat ala Roy of the Rovers pada minit ke-94, menampan masuk ke pintu gol yang ternganga selepas serangan balas Dortmund dari kotak penalti mereka sendiri ketika penjaga gol Leverkusen, Lukas Hradecky berada jauh dari kawasan penaltinya sendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 September 2018 @ 10:14 AM