PEMAIN Sabah (jersi merah) meraikan kemenangan 1-0 ke atas Kelantan pada perlawann di Stadium Likas, Kota Kinabalu, malam tadi, sekali gus layak ke separuh akhir Piala Malaysia. FOTO KHAIRULL AZRY BIDIN.
Ryan Stanley

 

“KEMENANGAN ini kami dedikasikan buat rakyat Sabah,” kata ketua jurulatih, Jelius Ating sejurus pasukannya mengesahkan tempat ke separuh akhir Piala Malaysia buat kali pertama sejak 2007 apabila menewaskan Kelantan 1-0 pada suku akhir kedua di Stadium Likas, malam tadi.

Jelius berkata, peminat boleh sepak di Sabah sudah lama menantikan detik seperti ini untuk menyaksikan pasukan kesayangan mereka kembali menjadi tumpuan dalam kancah bola sepak negara. 

“Kami mula membentuk pasukan ini sejak pertengahan musim lalu, saya gembira kerana prestasi pemain serta corak permainan kami terus meningkat sehingga berjaya sampai ke tahap ini. 

“Pasukan ini bertuah kerana mempunyai penyokong yang selalu memberi motivasi walaupun kadang-kala mereka membuat kritikan.

“Kami lihat pada malam ini (semalam), Stadium Likas dibanjiri penyokong, sorakan mereka bergema dan ia melonjakkan lagi semangat pemain untuk berjuang memburu kemenangan,” katanya.

Kali terakhir Sabah layak ke separuh akhir Piala Malaysia ialah pada tahun 2007, namun impian melangkah ke final ketika itu dikecewakan Perak menerusi kemenangan agregat 3-2.

Pada aksi malam tadi, Sabah mengesahkan tempat ke separuh akhir untuk menentang sama ada Perak atau PKNS FC selepas terikat 2-2 secara agregat, namun memiliki kelebihan jaringan di tempat lawan.

Gol tunggal Sabah dijaringkan penyerang import, Rodoljub Paunovic menerusi sepakan penalti pada minit ke-30 selepas bola terkena tangan pertahanan Kelantan. 

Sementara itu, Jelius melahirkan rasa kagum dan memuji semangat ditunjukkan barisan pemain Kelantan kendalian Yusri Che Lah yang tidak berputus asa memburu gol penyamaan, malah hampir mendapat jaringan pada masa kecederaan. 

“Kelantan sebuah pasukan yang baik, mereka tidak memiliki bintang tetapi bekerja keras sebagai satu pasukan, kita lihat pemain mereka khususnya yang muda seperti tidak pernah penat untuk berlari. 

“Bagaimanapun, kami beraksi dengan baik dan berhak untuk menang, apapun bagi saya, Kelantan kalah secara bermaruah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 September 2018 @ 6:56 PM