PRESIDEN Russia, Vladimir Putin mengucapkan tahniah kepada Hamilton. FOTO AFP
AFP

LEWIS Hamilton menjarakkan kedudukan di puncak kejuaraan dunia Formula Satu (F1) kepada 50 mata apabila menjuarai Grand Prix (GP) Russia yang dibantu taktik Mercedes, hari ini.

Penyandang juara itu yang memulakan perlumbaan di petak kedua sekali lagi dibantu rakan sepasukannya, Valtteri Bottas yang membenarkannya dipintas sebelum mempertahankan kedudukan daripada serangan pencabar kejuaraan, Sebastian Vettel.

Bottas yang memulakan perlumbaan di petak utama terpaksa menamatkan saingan di tempat kedua manakala Vettel yang berlumba bersama Ferrari ketiga.

Turut menyaksikan perlumbaan ialah Presiden Russia, Vladimir Putin yang duduk bersebelahan bekas supremo F1, Bernie Ecclestone tetapi ketibaannya di Litar Sochi Autodrom agak lewat.

Bottas jelas tampak tidak gembira selepas perlumbaan berakhir apabila dia diminta untuk mematuhi arahan pasukan dengan jenteranya tiba 2.5 saat selepas Hamilton melintasi garisan penamat.

Bos Mercedes, Toto Wolff tidak memberikan pilihan terhadap Bottas tetapi selepas perlumbaan, dia cuba untuk memujuk pelumba dari Finland itu.

“Valtteri, ini adalah Toto, hari yang sukar untuk kamu, sukar untuk kami, kekal bersama dan berbincang mengenainya selepas ini,” kata Wolff. - AFP

Kemenangan di Sochi adalah yang ketiga buat Hamilton di Russia, dan kelimanya dalam enam perlumbaan terakhir serta ke-70 dalam kariernya sekali gus meneruskan momentum untuk menjulang kejuaraan dunia kelima berbaki lima lagi pusingan.

Rakan sepasukan Vettel, Kimi Raikkonen menamatkan perlumbaan di tempat keempat diikuti pelumba Red Bull, Max Verstappen yang menyambut hari lahirnya yang ke-21 dengan pemanduan baik selepas memulakan perlumbaan di petak ke-19.

Keputusan GP Russia

1. Lewis Hamilton (GBR) Mercedes, 1 jam 27:25.181 saat (s)

2. Valtteri Bottas (FIN) Mercedes, + 2.545s

3. Sebastian Vettel (GER) Ferrari + 7.487s

4. Kimi Raikkonen (FIN) Ferrari + 16.543s

5. Max Verstappen (NED) Red Bull, + 31.016s

6. Daniel Ricciardo (AUS) Red Bull, + 80.451s

7. Charles Leclerc (MON) Sauber, + 98.390s

8. Kevin Magnussen (DEN) Haas, + 98.390s

9. Esteban Ocon (FRA) Force India, + 1 lap

10. Sergio Perez (MEX) Force India, + 1 lap

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 September 2018 @ 10:59 PM