PEMAIN Perak, Wander Luiz (tiga kanan) meraikan gol kedua ketika menentang PKNS FC pada perlawanan suku akhir kedua Piala Malaysia 2018 di Stadium Shah Alam. FOTO Luqman Hakim Zubir
Zulfaizan Mansor


PEMAIN import, Wander Luiz muncul wira Perak apabila dua jaringannya membawa skuad Bos Gaurus ke separuh akhir Piala Malaysia selepas menumpaskan PKNS FC 2-0 pada aksi suku akhir kedua di Stadium Shah Alam, hari ini.

Kemenangan itu menyaksikan Perak mara dengan agregat 2-0 selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan pada aksi suku akhir pertama di Stadium Perak, Ipoh, lima hari lalu.

Perak yang dilihat lebih banyak melakukan asakan sebaik perlawanan bermula berjaya berada di depan hasil rembatan jarak jauh Luiz pada minit ke-23.

Enam minit kemudian, anak didik Mehmet Durakovic hampir menambah jaringan, namun sepakan percuma Leandro Dos Santos sekadar menggegar palang.

Ketika PKNS cuba memburu gol penyamaan, sebaliknya Luiz meletakkan Perak pada kedudukan lebih selesa apabila menanduk masuk bola hantaran Firdaus Saiyadi pada minit ke-56.

Malang terus menimpa skuad kendalian Datuk K Rajagobal apabila terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Jafri Firdaus Chew dilayangkan kad merah pada minit ke-78 kerana mengasari Santos.

Perak akan berdepan Sabah yang berjaya menyingkirkan Kelantan di suku akhir sementara Terengganu pula bakal menentang juara bertahan Johor Darul Ta'zim (JDT).

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 September 2018 @ 11:22 PM