PEMAIN Chelsea, David Luiz (tengah) akui keliru dengan keputusan bekas jurulatihnya, Antonio Conte yang sisihkan beliau dari skuad utama berbanding Maurizio Sarri. FOTO Agensi
AFP

LONDON: David Luiz bingung dengan layanan yang diterimanya daripada bekas pengurus Chelsea, Antonio Conte, menurut bos baharu kelab itu, Maurizio Sarri.

Luiz menjadi antara tonggak Chelsea yang menjulang kejuaraan liga pada musim pertama Conte di Stamford Bridge (2016-17) tetapi dia kemudian jarang diturunkan selepas kekalahan 0-3 kepada Roma 31 Oktober tahun lalu.

Pertahanan Brazil berusia 31 tahun itu dikhabarkan berselisih faham dengan Conte dan selepas dipalit beberapa siri kecederaan, dia langsung tidak beraksi sejak kekalahan kepada Watford pada Februari.

“Dua musim lalu dia adalah watak utama,” kata Sarri. “Kemudian enam bulan lalu dia langsung tidak bermain, jadi dia merasa sedikit keliru.”

Chelsea ketika ini masih belum tewas dalam kempen Liga Perdana Inggeris selepas mencatat lima kemenangan dan dua seri selain menghadiahkan Liverpool kekalahan pertama dalam kempen Piala Liga minggu lalu.

Sarri berkata dia menggemari sikap yang dimiliki Luiz yang sebelum ini tidak disukai Conte.

“Dia berterus tenang. Jika dia mempunyai sesuatu untuk dikatakan kepada pengurus, dia datang bercakap kepada saya,” kata Sarri. “Saya amat gemar orang yang berterus terang.

“Apabila saya tiba di sini dengan pantas saya dapat merasakan dia adalah pemain yang serasi dengan corak permainan saya kerana dia adalah pertahanan tengah yang amat teknikal.

“Jadi saya menghargai kualitinya sebagai lelaki. Dia benar-benar lebih bagus daripada yang saya fikirkan.”

Luiz juga gembira dengan apa yang dibawa Sarri ke kelab berkenaan.

“Sarri memberikan kami banyak kegembiraan untuk bermain bola sepak. Kami cuba untuk berseronok. Dia memberikan kami banyak keyakinan. Dia menunjukkan kepada kami apa yang dia mahukan dan memberikan kami perincian mengenai perlawanan,” kata Luiz. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Oktober 2018 @ 12:41 AM