PENGURUS Manchester United, Jose Mourinho. FOTO Reuters
AFP

MANCHESTER: Pengurus Manchester United, Jose Mourinho menafikan jawatannya ‘di hujung tanduk’ tetapi mengakui segelintir lebih prihatin berbanding yang lain menjelang pertembungan Liga Juara-Juara dengan Valencia, awal pagi Rabu.

United bergelut pada musim ini selepas hanya mengutip 10 mata daripada tujuh perlawanan Liga Perdana Inggeris selain  tersingkir daripada kempen Piala Liga oleh kelab divisyen dua, Derby County.

Begitupun, Red Devils meraih kemenangan meyakinkan di pentas Eropah apabila menang perlawanan pertama peringkat Kumpulan H Liga Juara-Juara menewaskan Young Boys 3-0, dua minggu lalu.

Tetapi sejak itu, wujud laporan pergolakan membabitkan pemain utamanya dengan Paul Pogba diturunkan pangkat sebagai naib kapten sekali gus mencetus reaksi yang mengatakan Mourinho sudah hilang pengaruhnya di Old Trafford.

Ketika ditemui pada sidang media semalam, pengendali dari Portugal itu tampak cukup yakin dan membalas dengan mudah apabila ditanya adakah jawatannya berada dalam bahaya: “Tidak, saya tidak rasa seperti ini.”

Selepas kekalahan 1-3 kepada West Ham, Sabtu lalu, timbul laporan yang mengaitkan bekas pengurus Real Madrid, Zinedine Zidane dengan tugas Mourinho di United.

Ditanya sama ada beliau ada bercakap dengan Naib Eksekutif United, Ed Woodward selepas kekalahan itu, Mourinho enggan mengulas lanjut.

“Ia perkara peribadi. Saya tidak bertanya kepada kamu dengan siapa yang kamu bercakap semalam atau awal pagi ini, siapa orang terakhir yang bercakap dengan kamu di telefon, ia peribadi. Saya tidak mahu menjawabnya.”

Kekalahan kepada West Ham mencetus kritikan daripada ramai pihak termasuk pertahanan, Luke Shaw yang berkata pemain perlu bertanggungjawab atas persembahan ‘amat buruk’ pasukan itu.

Begitupun, Mourinho berkata ia memerlukan lebih daripada itu jika mahu situasi ketika ini berubah.

“Prestasi di atas padang berpunca daripada pelbagai faktor. Luke Shaw sebagai contoh berkata, ‘kami pemain di padang perlu lebih berusaha.’ Saya suka perspektif itu tetapi saya tidak bersetuju sepenuhnya.

“Semua orang di kelab mempunyai peranan. Penjaga kelengkapan, pakar pemakanan. Saya mempunyai peranan, semua orang mempunyai peranan. Saya fikir sesetengahnya lebih prihatin berbanding yang lain,” katanya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Oktober 2018 @ 12:54 AM