SUMAREH (tengah) teruja sertai kem latihan negara. FOTO/FAIL
Syafiq Aznan


SRI Lanka bakal menjadi negara pertama merasai ‘bisa’ Mohamadou Sumareh selepas pemain naturalisasi pertama negara itu dipanggil menyertai kem latihan pusat skuad kebangsaan bermula Isnin depan.

Pemain sayap Pahang itu adalah antara enam pemain baharu yang dipanggil pengendali skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe untuk menghadapi dua perlawanan persahabatan kelas ‘A’, bermula dengan Sri Lanka di Colombo pada 12 Oktober.

Selepas itu, Malaysia akan melayan Republik Kyrgyz di Stadium Hang Jebat, Melaka pada 16 Oktober 2018.

Selain pemain kelahiran Gambia itu, lima pemain lain termasuklah Matthew Davies (Pahang); penjaga gol, Haziq Nadzli dan Syamer Kutty Abba (Johor Darul Ta’zim) serta Kenny Pallraj dan Nor Hakim Hassan (Perak).

Bagi panggilan kali ini, Cheng Hoe mengekalkan 16 pemain daripada skuad 22 pemain bagi dua aksi persahabatan sebelum ini yang menyaksikan mereka tewas 2-0 di tangan Taiwan pada 7 September, sebelum bangkit membenam Kemboja 2-1 (10 September).

Situasi ini menyaksikan Cheng Hoe mengambil keputusan menggugurkan enam pemain iaitu dua dari JDT, Farizal Marlias dan Nazmi Faiz Mansor, Nasir Basharudin (Perak), Nik Akif Syahiran Nik Mat (Kelantan), Syawal Nordin (Kedah) dan R Kogileswaran (Pahang).

Bagi melengkapkan senarai 24 pemain, dua pemain yang tersenarai pada panggilan September lalu tetapi tidak menyertai pasukan sebelum ini iaitu Adam Nor Azlin (JDT) dan Norshahrul Idlan Talaha (Pahang) sekali lagi disenaraikan Cheng Hoe.

Skuad Harimau Malaya akan menjalani dua hari latihan di Melaka pada 8 dan 9 Oktober sebelum berlepas ke Colombo pada 10 Oktober.

Dua aksi persahabatan antarabangsa bertemu Sri Lanka dan Republik Kyrgyz ini adalah antara persiapan skuad Harimau Malaya bagi menghadapi Piala Suzuki AFF 2018 yang bakal berlangsung dari 8 November hingga 15 Disember 2018.

Dalam saingan kali ini, Malaysia diundi dalam Kumpulan A bersama Kemboja, Laos, Vietnam dan Myanmar.

Seterusnya, satu lagi aksi persahabatan bakal menyusul menjelang sepak mula iaitu bertemu Maldives di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 3 November 2018.

Info: Senarai 24 pemain ke kem latihan skuad kebangsaan

Penjaga gol: Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy, Haziq Nadzli, Khairul Fahmi Che Mat

Pertahanan: Shahrul Saad, Amirul Azhan Aznan, Adam Nor Azlin, Syazwan Andik Ishak, Irfan Zakaria, Matthew Davies, Rawilson Batuil, Fazly Mazlan

Tengah: Kenny Pallraj, Syamer Kutty Abba, Akram Mahinan, Azzizan Nordin, Mahalli Jasuli

Sayap: Nor Hakim Hassan, Syazwan Zainon, Akhyar Rashid, Mohamadou Sumareh, Syahmi Safari

Penyerang: Zaquan Adha Abd Radzak, Norshahrul Idlan Talaha, Shahrel Fikri Md Fauzi

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Oktober 2018 @ 12:26 PM