MESSI jaring gol keempat Barca menewaskan Hugo Lloris. -Foto EPA
AFP

PARIS: Lionel Messi meledak dua gol ketika Barcelona terus menambah derita Tottenham melalui kemenangan 4-2 dalam saingan Liga Juara-Juara di Stadium Wembley, awal pagi tadi.

Philippe Coutinho meledak jaringan pembukaan untuk Barcelona seawal minit kedua, ketika mereka tiba di London dengan rekod gagal meraih kemenangan dalam tiga perlawanan La Liga sebelum itu.

Ivan Rakitic turut mencetak nama selaku penjaring untuk Barca melalui gol kedua pada minit ke-28.

Messi, yang sebelum itu dua kali percubaannya terkena tiang gol, akhirnya berjaya meledak jaringan pertamanya pada minit ke-56.

Jaringan itu berjaya mengimbangi dua gol tuan rumah hasil jaringan Harry Kane (minit ke-52) dan Erik Lamela pada minit ke-66.

Bintang Argentina itu mengesahkan kemenangan mutlak milik Barca melalui gol kedua peribadi yang juga gol keempat pelawat pada minit terakhir perlawanan.

“Selepas berdepan beberapa keputusan yang teruk, akhirnya kami berjaya meraih kemenangan penting hari ini. Kami bertindak balas dengan sangat bagus,” kata jurulatih Barca, Ernesto Valverde.

Barca kita mengetuai Kumpulan B dengan enam mata, mengatasi Inter Milan, manakala skuad bimbingan Mauricio Pochettino berdepan laluan sukar untuk menentang PSV Eindhoven, selepas gagal mengutip sebarang mata dalam dua perlawanan awal setakat ini.

Bos Tottenham itu mengakui, mereka gagal mengekang Messi serta pasukannya sekaligus menyebabkan Spurs terpaksa bergelut untuk mencari ruang layak ke peringkat kalah mati.

“Dia pemain menakjubkan,” kata Pochettino. “Dia menikmati prestasi yang cukup baik dalam perlawanan seperti ini. Dia sentiasa mengatasi segalanya,”

Sementara itu, Inter - kelab terakhir dari Itali yang menjulang trofi Liga Juara-Juara pada 2010, kembali bangkit untuk menang ke atas PSV 2-1, di Belanda.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Oktober 2018 @ 7:41 AM