PEMAIN skuad Jepun bawah 16 (B-16) meraikan kejayaan mereka selepas menewaskan Australia pada separuh akhir Kejuaraan B-16 Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2018 di Stadium Nasional Bukit Jalil. FOTO Bernama
Zulfaizan Mansor


KUALA LUMPUR: Jepun melangkah ke final kejohanan bawah 16 (B-16) tahun Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) apabila bangkit daripada ketinggalan untuk membenam Australia 3-1 pada aksi separuh akhir di Stadium Nasional, Bukit Jalil hari ini.

Australia terlebih dahulu berada di depan hasil jaringan Noah Botic yang menyudahkan sepakan penalti pada minit kelapan.

Jepun terpaksa menunggu pada babak kedua untuk bangkit apabila Shoji Toyama meledak dua gol pada minit ke 59 dan 69.

Shunsuke Mito kemudian mengesahkan kemenangan bergaya skuad Samurai Biru apabila menyumbang gol ketiga, 12 minit sebelum perlawanan tamat.

Ia adalah kali keempat Jepun mara ke final pada kejohanan itu selepas dua kali muncul juara pada tahun 1994 dan 2006 selain naib juara, enam tahun lalu. 

Lawan Jepun di final akan ditentukan malam ini apabila Korea Selatan akan berentap menentang Tajikistan jam 8.45 malam. 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Oktober 2018 @ 8:52 PM