PEMAIN tengah, Koke dan penyerang, Alvaro Morata kembali diserap perkuat skuad Sepanyol. FOTO Agensi
PEMAIN tengah, Koke dan penyerang, Alvaro Morata kembali diserap perkuat skuad Sepanyol. FOTO Agensi
Reuters

MADRID: Pemain tengah Atletico Madrid, Koke dan penyerang Chelsea, Alvaro Morata dipanggil semula dalam skuad Sepanyol bagi perlawanan antarabangsa menentang Wales dan England bulan ini, namun Diego Costa diketepikan oleh jurulatih Luis Enrique.

Costa, yang menarik diri daripada skuad itu bulan lalu kerana alasan peribadi, cedera ketika Atletico menang 3-1 ke atas Club Bruges pada aksi Liga Juara-Juara awal pagi tadi, bagaimanapun Atletico belum mengumumkan butiran terperinci kecederaan itu.

Jurulatih Sepanyol, Enrique enggan menyatakan sama ada penyerang itu berada dalam perancangannya sebelum dia cedera menentang Bruges.

“Saya tidak faham kenapa anda terlalu berminat untuk mengetahui perkara ini. Dia cedera dan itulah yang anda patut tahu,” kata Enrique pada sidang akhbar.

Sepanyol berdepan Wales di Cardiff pada aksi persahabatan Khamis depan sebelum melayan kunjungan England pada aksi Liga Negara Eropah di gelanggang Real Betis, Stadium Benito Villamarin, tiga hari kemudian.

Anak buah Enrique mengungguli Kumpulan A4, Liga Negara Eropah dengan enam mata selepas menewaskan England 2-1 serta membelasah Croatia 6-0 bulan lalu.

“Aksi persahabatan dengan Wales memberi kami peluang untuk mencuba sesuatu. Perlawanan penting adalah menentang England. Tiada ruang untuk melakukan eksperimen kerana kami perlu menang,” kata Enrique.

Jurulatih itu turut menyenaraikan pertahanan Wolverhampton Wanderers, Jonny Castro buat julung kami dan memanggil semula pertahanan Real Betis, Marc Bartra serta penyerang Borussia Dortmund, Paco Alcacer.

SKUAD SEPANYOL:

Penjaga gol: David de Gea, Kepa Arrizabalaga, Pau Lopez.

Pertahanan: Cesar Azpilicueta, Raul Albiol, Nacho Fernandez, Sergio Ramos, Marc Bartra, Jonny Castro, Marcos Alonso, Jose Gaya.

Tengah: Sergio Busquets, Rodri, Koke, Saul Niguez, Thiago Alcantara, Dani Ceballos.

Penyerang: Marco Asensio, Iago Aspas, Alvaro Morata, Suso, Rodrigo Moreno, Paco Alcacer.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Oktober 2018 @ 9:38 PM