UNAI EMERY
AFP

LONDON: Unai Emery menegaskan Arsenal tidak akan menjadikan jadual ketat sebagai alasan untuk gagal mempamerkan prestasi terbaik menentang Fulham dalam aksi Liga Perdana esok.

Skuad Emery berkunjung ke Craven Cottage dalam misi meneruskan kemenangan sembilan perlawanan berturut-turut dalam semua kejohanan.

Tetapi aspek keletihan mampu menjejaskan hasrat Arsenal apabila terbang sejauh 4,000km dari Azerbaijan selepas menewaskan Qarabag 3-0 dalam aksi Liga Europa, kelmarin.

Masa yang suntuk menyukarkan persiapan Emery untuk menghadapi perlawanan penting itu tetapi pengendali Arsenal itu tetap yakin dengan keupayaan pemainnya menghadapi situasi itu.

“Bagi kami tiada masalah beraksi pada Khamis lalu dan kemudian esok kerana kami mahu beraksi lebih banyak perlawanan dan kejohanan,” kata Emery.

“Kami juga mahu beri peluang kepada pemain bermain, tingkat keyakinan dan tanggungjawab serta rentak kepada semua pemain kami.”

“Pemain kami yang jarang beraksi dapat bermain menentang Qarabag dan mereka juga boleh beraksi esok. Apa yang penting kami mampu mempamerkan prestasi terbaik esok.”

Gunners seharusnya mampu mengekalkan momentum kemenangan mereka dalam pertembungan ‘derby’ London itu.

Arsenal yang menduduki tempat kelima selepas permulaan lembab di awal musim kini memburu kemenangan keenam berturut-turut aksi liga dalam satu musim buat kali pertama sejak Oktober 2016.

Mereka juga mahu meraih kemenangan ketiga berturut-turut di tempat lawan untuk kali pertama dalam masa dua tahun tetapi Emery tetap enggan mengambil mudah perlawanan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Oktober 2018 @ 2:38 PM