Repsol Honda Team's Spanish rider Marc Marquez (L) celebrates on the track next to Ducati Team's Italian rider Andrea Dovizioso (R) after winning the MotoGP race of the inaugural Thailand Grand Prix at Buriram International Circuit on October 7, 2018. (Photo by LILLIAN SUWANRUMPHA / AFP)
Reuters

BURIRAM: Juara bertahan MotoGP, Marc Marquez memintas Andrea Dovizioso pada saat akhir untuk menjuarai Grand Prix Thailand sekali gus melebarkan penguasaan untuk merangkul gelaran ketiga berturut-turut.

Perlumbaan sengit pada pusingan terakhir di Buriram menyaksikan pelumba Sepanyol yang mewakili pasukan Honda itu merampas kedudukan hadapan pada selekoh terakhir dan mengatasi Dovizioso dengan kelebihan 0.115 saat (s) apabila mencatat masa 39 minit 55.722s untuk muncul juara dalam pertarungan yang mendebarkan.

Kemenangan itu meletakkan juara empat kali itu mendahului Dovizioso yang juga pelumba pasukan Ducati dengan 77 mata ketika persaingan hanya berbaki empat perlumbaan.

Marquez boleh menutup terus musim ini di Jepun dalam tempoh dua minggu lagi dengan meraih kejuaraan di Motegi.

“Kemenangan yang menakjubkan selepas mengharungi satu minggu yang sukar,” kata Marquez.

“Pasukan saya bekerja dengan baik, kerja yang sangat bagus sepanjang minggu. Mereka melakukan segala-galanya. Jadi, satu langkah lagi untuk mencapai impian.”

Pelumba Yamaha, Maverick Vinales menamatkan perlumbaan di tempat ketiga, di depan rakan sepasukannya Valentino Rossi.

Marquez bermula di petak hadapan selepas mencatat masa terpantas pada sesi kelayakan semalam, namun hilang penguasaan di kedudukan pertama selepas permulaan yang kurang baik, membolehkan Rossi dan Dovizioso memintasnya.

Cabaran pelumba veteran, Rossi bagaimanapun tidak lama apabila dia terkeluar daripada persaingan kedudukan hadapan dan meninggalkan pertarungan sengit antara Dovizioso dan Marquez.

Ketika perlumbaan berbaki empat pusingan, perlumbaan penuh debaran dapat disaksikan apabila Marquez merampas kedudukan pertama tetapi tidak lama kemudian Dovizioso kembali memintas pelumba dari Sepanyol itu.

Aksi mendebarkan itu berlarutan hingga pusingan terakhir dan Dovizioso akhirnya terpaksa berdepan penamat yang mengecewakan apabila Marquez berjaya menamatkan perlumbaan di tempat pertama.

 “Ia tidak bagus apabila kalah di selekoh terakhir. Kami bertarung untuk kejuaraan, jadi kami melakukan tugas dengan cemerlang dan perlu meneruskan peningkatan,” katanya. - Reuters

KEPUTUSAN

1. Marc Marquez (Repsol Honda) 39 minit 55.722 saat

2. Andrea Dovizioso (Ducati) +0.115s

3. Maverick Vinales (Movistar Yamaha) +0.270s

4. Valentino Rossi (Movistar Yamaha) +1.564s

5. Johann Zarco (Monster Yamaha Tech 3) +2.747s

6. Alex Rins (Suzuki ECSTAR) +3.023s

7. Cal Crutchlow (LCR Honda Castrol) +6.520s

8. Alvaro Bautista (Angel Nieto) +6.691s

9. Danilo Petrucci (Alma Pramac Racing) +9.944s

10. Jack Miller (Alma Pramac Racing) +11.077s

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Oktober 2018 @ 7:33 PM