PEMAIN Malaysia, Muhd Sulaiman Abd Razak (depan) diasak pemain Australia ketika Kejohanan Hoki Piala Sultan Johor Ibrahim di Stadium Hoki Taman Daya, Johor Bahru. FOTO Hairul Anuar Rahim
PEMAIN Malaysia, Muhd Sulaiman Abd Razak (depan) diasak pemain Australia ketika Kejohanan Hoki Piala Sultan Johor Ibrahim di Stadium Hoki Taman Daya, Johor Bahru. FOTO Hairul Anuar Rahim
Rizar Mohd Noor


JOHOR BAHRU: Skuad remaja negara terus ditimpa malang apabila tewas 1-6 kepada Australia pada Kejohanan Hoki Bawah 21 Tahun Piala Sultan Johor di Stadium Hoki Taman Daya, sebentar tadi.

Ia kekalahan kedua-dua berturut-turut pada kejohanan edisi kelapan selepas tewas 1-2 kepada India pada aksi pertama, semalam justeru bayangan untuk menamatkan saingan di kelompok empat terbaik tampak sukar.

Di awal suku pertama, skuad remaja negara meraih dua pukulan sudut penalti namun Nur Asraf Ishak gagal melakukan pukulan tepat selepas ia mudah dihalang penjaga gol Australia, Cade Banditt.

Kemudian, kealpaan benteng pertahanan skuad remaja negara mudah dihukum Australia selepas mencipta jaringan menerusi gol padang Hayden Belzt pada minit kelapan menewaskan penjaga gol, Adrian Albert.

Tersentak dengan jaringan awal itu, anak didik Nor Saiful Zaini Nasiruddin cuba menyusun strategi memburu gol penyamaan namun percubaan Hafizzudin Zaidi pada minit ke-14 masih belum mampu menewaskan Banditt.

Australia menambah derita skuad remaja negara pada minit ke-26 selepas Alec Rasmussen yang mudah menyusup masuk ke dalam kawasan D dan memukul bola tepat ke gawang menewaskan Albert untuk mendahului 2-0.

Bersambung babak kedua pada suku ketiga, Australia menggandakan asakan memaksa skuad remaja negara terpaksa berhempas pulas mengekang asakan anak didik Chris O'Reilly yang berusaha untuk menambah jaringan.

Bagaimanapun, skuad remaja negara mengambil kesempatan untuk merapat jurang gol pada minit ke-37 selepas bola pukulan sudut penalti Hafizzudin disambar Haikal Hasrin yang berada di posisi terbaik untuk menolak bola menewaskan Banditt.

Taktik yang mengelirukan tatkala Australia meraih pukulan sudut penalti pada minit ke-44 menyaksikan Damon Steffens berjaya meletakkan pelawat selesa mendahului 3-1.

Ketika aksi menuju ke penghujung suku ketiga Australia menambah derita skuad remaja negara apabila bola pukulan sudut penalti yang ditepis Albert berjaya disambar Jake Staines yang berada di depan gawang untuk mudah melakukan jaringan.

Prestasi skuad remaja negara yang menghampakan pada perlawanan itu terus dihukum Australia yang menambah jaringan menerusi pukulan sudut penalti hasil jaringan Coby Green pada minit ke-52 dan disusuli gol kedua peribadi Steffens selang seminit kemudian.

KEPUTUSAN PENUH

Jepun 2  Britain 1

India 7 New Zealand 1

Australia 6 MALAYSIA 1

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Oktober 2018 @ 10:33 PM