PEMAIN Perak, Muhammad Firdaus Saiyadi (empat kanan) meraikan jaringan keempat bersama rakan sepasukan ketika menentang Sabah di Stadium Perak, Ipoh. FOTO Abdullah Yusof
Azizan Hashim 


IPOH : Perak mendapat bekalan selesa untuk  dibawa ke Stadium Likas pada 21 Oktober ini apabila membenam Sabah 5-0 pada aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Perak, malam tadi.

Dua jaringan pada babak pertama dan tiga lagi pada babak kedua membolehkan anak buah Mehmet Durakovic merakam kemenangan besar di hadapan lebih 20,000 penonton. 

Jurulatih Sabah, Jelius Ating pasti merenung jauh berikutan keputusan itu kerana sedar beliau mempunyai tugas berat apabila turun membuat perhitungan kedua nanti. 

Pada aksi di Stadium Perak, tuan rumah garang melakukan asakan awal ke arah pintu gol Sabah dan berpeluang menjaringkan gol melalui Gilmar Da Silva dan Wander Luiz tetapi tidak berhasil. 

Begitupun, kesungguhan tuan rumah akhirnya membuahkan hasil apabila Mohd Nor Hakim Hassan membuka tirai jaringan berpunca hantaran Firdaus Saiyadi pada minit ke-16.

Perak menggandakan asakan dan Wander Luiz melebarkan kedudukan apabila memanfaatkan bola hantaran ke belakang Gilmar pada minit ke-42.

Sabah cuba bangkit pada babak kedua dan Hector Ramos hampir menjaringkan gol tetapi sepakan percumanya pada 

minit ke-64 ditepis keluar oleh penjaga gol Perak, Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy. 

Tetapi selepas cubaan itu, anak buah Durakovic memulakan malam penuh perit buat pelawat apabila Gilmar turut meletakkan namanya selaku penjaring pada minit ke-73 diikuti gol Firdaus Saiyadi (75) sebelum Leandro Dos Santos melengkapkan jumlah jaringan untuk meletak Perak sebelah kaki ke perlawanan akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Oktober 2018 @ 11:45 PM