PENGURUS Arsenal, Unai Emery (kiri) memeluk pemainnya, Matteo Guendouzi selepas The Gunners meledak gol keempat. FOTO Reuters
PENGURUS Arsenal, Unai Emery (kiri) memeluk pemainnya, Matteo Guendouzi selepas The Gunners meledak gol keempat. FOTO Reuters
AFP

LONDON: Unai Emery percaya prestasi menakjubkan Arsenal mengembalikan hubungan di antara kelab itu dan penyokong selepas skuad kendaliannya menewaskan Fulham 5-1 dalam aksi Liga Perdana Inggeris, malam tadi.

Kemenangan di Craven Cottage itu adalah kesembilan berturut-turut yang dicatatkan Gunners dalam semua kejohanan musim ini sekali gus menyamai deretan kemenangan kelab itu dalam tempoh 11 tahun.

Ia adalah kemenangan terbesar dicatatkan Arsenal musim ini dan membawa pasukan ke kelompok empat terbaik liga.

Gol-gol Arsenal dijaringkan masing-masing dua daripada penyerang, Alexandre Lacazette dan Pierre-Emerick Aubameyang selain daripada Aaron Ramsey yang mampu dicalonkan gol terbaik musim ini.

Kejayaan menewaskan Fulham juga adalah kemenangan keenam berturut-turut buat Arsenal dalam kempen liga dengan gol tuan rumah dijaringkan bekas pemain Chelsea, Andre Schurrle.

“Persembahan kami sepanjang 90 minit permainan amat penting. Kami bekerja amat keras pada babak kedua untuk memperoleh keputusan dengan momentum kami di atas padang,” kata Emery.

“Saya mempercayai pasukan ini, kami percaya dengan apa yang kami lakukan tetapi kami juga perlu terus kekal yakin. Saya fikir kami ketika ini berada di tahap pertama dalam perang. Ia amat sukar tetapi kami perlu bersedia, terus meningkat dan menunjukkan komitmen yang tinggi.”

Tiba di Emirates bagi menggantikan Arsene Wenger, ramai menjangkakan Emery akan memperoleh laluan berliku tetapi bekas jurulatih Paris Saint-Germain itu dilihat berjaya mengembalikan kepercayaan peminat.

Malah satu sudut di Craven Cottage, kedengaran penyokong pasukan itu bersorak “kami memperoleh kembali Arsenal kami”, sesuatu yang tidak diperoleh Gunners pada penghujung era Wenger terutama pada musim lalu.

“Kamu perlu merasai hubungan di antara penyokong dan pemain. Semangat dan mentaliti ini amat penting bagi kami,” kata Emery. “Untuk menunjukkan kualiti dan kerja kami, dan kemudian kami boleh bergembira seperti ini.

“Kami memerlukan mereka untuk menyokong kami. Pemain merasakan perkara itu. Kami gembira tetapi tetap tenang kerana kami tahu setiap perlawanan adalah sukar.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Oktober 2018 @ 12:15 AM