PEMAIN Manchester City, Riyad Mahrez (kiri) gagal menjaringkan gol menerusi sepakan penalti pada aksi minit akhir ketika menentang Liverpool. FOTO AFP
PEMAIN Manchester City, Riyad Mahrez (kiri) gagal menjaringkan gol menerusi sepakan penalti pada aksi minit akhir ketika menentang Liverpool. FOTO AFP
Agensi

LIVERPOOL, England: Gabriel Jesus berkata, dia tidak puas hati apabila Pep Guardiola tidak membenarkannya mengambil sepakan penalti ketika Manchester City seri 0-0 dengan Liverpool semalam.

Pengurus City itu meminta maaf kepada penyerang Brazil itu selepas mengarahkan pemain sayap Riyad Mahrez mengambil tugas itu pada minit ke-86 yang kemudian sepakannya melewati palang gol.

Jesus, 21, yang mengalami prestasi tidak menentu sejak kempen Piala Dunia yang mengecewakan tetap yakin dia mampu mengambil sepakan penalti.

"Jelas, saya tidak puas hati,” katanya kepada wartawan. “Seperti Riyad, saya juga berlatih melakukan sepakan penalti.”

"Saya berharap dapat melakukannya, saya yakin dan sudah tentu geram apabila tidak diizinkan. Apapun, yang penting kami tidak tewas. Pep ada bercakap kepada saya.”

"Inilah bola sepak, ada kalanya ia berlaku. Saya akan sokong Riyad jika pengurus memilihnya lagi,” katanya.

Sementara itu, Mahrez yang dibeli dengan harga rekod kelab kini terlepas menjaringkan penalti buat kali keenam daripada 10 penalti yang diambilnya dalam Liga Perdana tetapi dia mahu mengetepikan kekecewaan itu sepantas mungkin.

"Sebenarnya saya mahu merembat ke bahagian tengah tetapi bola melepasi palang gol. Sekarang saya perlu lihat ke hadapan. Ia sebahagian daripada bola sepak. Ada kalanya anda jaringkan gol dan ada kalanya terlepas,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Oktober 2018 @ 7:53 PM