BINTANG Chelsea, Eden Hazard. FOTO Reuters
AFP

LONDON: Bintang Chelsea Eden Hazard menghangatkan kembali spekulasi membabitkan masa depannya di sebalik prestasi cemerlang The Blues musim ini apabila mengakui impiannya untuk beraksi bersama Real Madrid tidak pernah padam.

Hazard menjadi antara tonggak Chelsea yang masih belum kalah di bawah kendalian Maurizio Sarri dengan meledak lapan gol dalam semua kejohanan dan menghuni tangga teratas Liga Perdana Inggeris bersama Manchester City dan Liverpool.

Selepas dinobatkan pemain kedua terbaik di Piala Dunia Russia dengan membantu Belgium meraih tempat ketiga, pemain itu mendedahkan sudah tiba masanya dia mencari cabaran baharu dengan Madrid adalah destinasi pilihannya.

“Saya bercakap selepas Piala Dunia sudah tiba masanya untuk saya mencari angin baru kerana saya bermain dengan baik di Piala Dunia,” kata Hazard kepada media British.

“Saya benar-benar menikmati permainan ini ketika ini, bermain bola sepak yang hebat. Real Madrid adalah kelab terbaik di dunia. 

“Saya tidak mahu menipu hari ini. Ia adalah impian saya sejak kecil. Saya bermimpi mengenai kelab ini. Kita akan lihat. Saya tidak mahu bercakap mengenainya setiap hari. Saya tidak mempunyai masa untuk itu tetapi kita akan bercakap mengenai masa depan saya tidak lama lagi.”

Real pasti mengalu-alukan kehadiran Hazard selepas kehilangan Cristiano Ronaldo yang menyaksikan kelab gergasi Sepanyol itu gagal menjaringkan gol dalam empat perlawanan berturut-turut buat pertama kali sejak 1985.

Hazard yang kontraknya di Stamford Bridge akan berakhir pada 2020 begitupun tidak mahu mengikuti jejak bekas rakan sepasukannya, Thibaut Courtois yang memaksa kelab untuk melepaskannya.

Courtois yang masih memiliki kontrak setahun bersama Chelsea membuat bantahan apabila enggan menjalani latihan pramusim sebelum berpindah ke Madrid pada Ogos lalu.

“Saya tidak mahu melakukannya,” kata Hazard. “Saya mahu apa yang bagus untuk saya, tetapi saya mahu sesuatu yang bagus untuk kelab juga kerana kelab sudah memberikan saya segala-galanya.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Oktober 2018 @ 11:42 PM