SALAH dibawa keluar selepas cedera ketika Mesir menentang eSwatini. FOTO/AFP
AFP

JOHANNESBURG: Bintang Liverpool Mohamed Salah meledak gol terus daripada sepakan sudut sebelum dikeluarkan susulan kecederaan ketika Mesir menewaskan eSwatini 4-1 pada kempen kelayakan Negara-Negara Afrika, semalam.

Penyerang itu memegang kakinya pada penghujung perlawanan Kumpulan J di Kaherah dan kembali bermain selepas menerima rawatan tetapi kemudiannya digantikan.

Bercakap selepas perlawanan, pembantu jurulatih Mesir, Hany Ramzy memberitahu BeIN Sports: “Diagnosis awal, menurut kepada doktor pasukan, ia adalah ketegangan otot. Ia tidak koyak, saya fikir ia tidak serius.”

Jurucakap jabatan perubatan pasukan memberitahu laman web www.Kooora.com: “Dia (Salah) mengalami ketegangan yang ringan, kami akan melakukan imbasan secepat yang mungkin.

“Saya meragui dia boleh bermain pada Selasa depan. Kami akan mendapat kepastian selepas imbasan,” katanya mengulas perlawanan timbal balik menentang eSwatini di Manzini.

Selepas menyumbat 44 gol musim lalu pada musim pertamanya di Anfield, Salah hanya menjaringkan tiga gol setakat ini dan hanya satu sejak Ogos lalu.

Dia meledak dua gol dan terlepas dua penalti ketika juara tujuh kali Afrika itu membelasah Niger 6-0 bulan lalu pada satu lagi aksi kelayakan.

Dengan eSwatini (sebelum ini dikenali Swaziland) berada di ranking lebih rendah berbanding Niger, timbul jangkaan Salah akan kembali mengganas di Stadium Al Salam.

Begitupun, gol yang dicari-cari Salah hanya hadir pada minit ke-45 mengikuti tiga jaringan yang diledakkan lebih awal menerusi Ahmed El Mohamady, Amr Warda dan Trezeguet.

Gol sagu hati pelawat dijaringkan oleh Sibonginkosi Gamedze.

Sementara itu, pertahanan Manchester United, Eric Bailly turut meledak gol ketika Ivory Coast menewaskan Republik Afrika Tengah 4-0.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Oktober 2018 @ 8:08 AM