AZLAN (dua kiri) bersalam dengan orang ramai selepas Majlis Perasmian Kit Bantuan ke Sekolah sempena Hari Sukan Negara 2018 Peringkat Negeri Perlis. FOTO Azhar Ramli
Dziyaul Afnan Abdul Rahman
cnews@nstp.com.my

 

KERAJAAN negeri tidak mampu membantu Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) bagi menyelesaikan masalah gaji pemain yang tertunggak dan membiayai pasukan itu mengharungi Liga Malaysia musim depan.

Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man berkata, beliau sejak dahulu lagi sudah memaklumkan kerajaan negeri tidak berupaya menanggung perbelanjaan pasukan bergelar Singa Utara yang meningkat saban tahun.

“Sebenarnya isu ini bukan tanggungjawab kerajaan negeri, tapi di bawah tanggungjawab PFA sendiri dalam mencari dana untuk mereka terus bernafas.

“Masalah utama PFA sebenarnya bukan membabitkan gaji pemain saja, tapi hutang terdahulu yang turut membebankan hingga tiada yang berani tampil menaja pasukan,” katanya ketika ditemui pada majlis sambutan Hari Sukan Negara 2018 di Dataran Datuk Sheikh Ahmad di Kangar, hari ini.

Azlan berkata, seharusnya PFA bertemu Majlis Sukan Negara (MSN) bagi mendapatkan khidmat nasihat berhubung masalah itu.

“Seharusnya PFA bertemu dengan pihak di peringkat Persekutuan bagi menyelesaikan kemelut mereka dan sejujurnya kerajaan negeri tidak mampu untuk menyara PFA.

“Sebelum ini kerajaan negeri pernah menyalurkan dana sebanyak RM1.3 juta, tapi ia masih tidak mencukupi untuk menanggung beban mereka,” katanya.

Semalam, jurulatih Perlis, Manja Man menyerahkan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk membantu menyelesaikan kemelut tuntutan tunggakan gaji dihadapinya bersama PFA selepas pelbagai usaha menemui jalan buntu.

Manja yang dihubungi Sukan NSTP memberitahu, hingga hari ini PFA masih mengambil sikap lepas tangan walaupun tempoh diberikan FAM untuk melunaskan tunggakan itu sudah dua minggu berlalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Oktober 2018 @ 4:57 PM