BOJAN Hodak. FOTO arkib NSTP
Zulfaizan Mansor


JURULATIH skuad bawah 19 (B-19) tahun negara, Bojan Hodak tidak gusar dengan keputusan kurang memberangsangkan pasukannya dalam aksi persahabatan berdepan Qatar dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Anak buah Hodak tewas 1-3 kepada Qatar sebelum seri 1-1 dan kecundang 0-2 dalam dua aksi berdepan UAE, Rabu lalu dan malam tadi.

Tiga aksi persahabatan itu diadakan sebagai persiapan menghadapi kejohanan B-19 Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) di Indonesia bermula Sabtu ini.

Enggan memikirkan keputusan diraih, Hodak percaya masih ada ruang untuk anak buahnya memperbaiki segala kelemahan yang dikesan hasil daripada aksi persahabatan itu.

“Berdepan Qatar, saya tidak menurunkan skuad utama untuk tempoh 65 minit pertama. Apapun saya yakin persembahan kami boleh dipertingkatkan,” kata Hodak kepada Sukan NSTP, hari ini.

“Ketika berdepan UAE pula, saya dapat menyenaraikan barisan pemain terbaik dan kami seri 1-1 sebelum tewas pada aksi kedua.

“Sudah pasti saya tidak risau dengan keputusan perlawanan persahabatan itu kerana kami sedang mencuba formasi yang terbaik buat pasukan. Jadi keputusan itu tidak memberi kesan besar buat kami.”

Malaysia bakal berdepan tugas getir di kejohanan B-19 AFC apabila diundi bersama Arab Saudi, Tajikistan dan China dalam Kumpulan D.

Anak buah Hodak akan membuka tirai kejohanan menentang Arab Saudi pada 20 Oktober ini sebelum berdepan Tajikistan dan China (23 dan 26 Oktober).

Selain itu, Hodak berkata perkara positif yang diperoleh hasil daripada perlawanan menentang Qatar dan UAE itu adalah ia memberi gambaran awal terhadap kekuatan pasukan dasri Timur Tengah sebelum berdepan Arab Saudi.

“Apa yang penting pemain sudah mendapat pendedahan awal untuk berdepan Arab Saudi dan saya percaya kami mampu memberi saingan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Oktober 2018 @ 9:14 PM