SYED Saddiq (tengah, belakang) bergambar bersama atlet paralimpik negara semasa tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, hari ini. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
Jumiati Rosly dan Haika Khazi
sukanteam@nstp.com.my

 

MAJLIS Sukan Negara (MSN) akan memasang pengesan petir di sekitar kawasan berdekatan Bandar Sukan Kuala Lumpur bagi memastikan insiden disambar petir tidak berulang.

“Saya sudah dimaklumkan bahawa MSN akan memasang pengesan petir (lightning detector) di kawasan MSN.

“Saya dapat laporan daripada Ketua Setiausaha (Kementerian Belia dan Sukan) Datuk Lokman Hakim Ali bahawa pada masa itu, ada hujan tetapi tak ada guruh dan tak ada petir. Kejadian itu kali pertama berlaku. Ia adalah insiden tak dijangka,” kata Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Beliau ditemui ketika majlis sambutan kepulangan kontinjen negara dari Sukan Para Asia Jakarta di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, hari ini.

Dalam kejadian ketika Hari Sukan Negara semalam, tiga pemain futsal cedera akibat disambar petir ketika menyertai perlawanan Liga Sukan Untuk Semua (LiSUS) peringkat kebangsaan di padang MSN dan dibawa ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz untuk rawatan.

Dua mangsa terbabit - Nurrizati Kamsani dari Terengganu dan Abd Wahid Habib Abdullah dari Sabah sudah dibenarkan pulang hari ini, sementara Faizal Alli juga dari Sabah masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Syed Saddiq yang menziarahi mereka petang hari ini berkata, keluarga mangsa dari Sabah yang masih berada di ICU juga sudah dibawa ke ibu negara.

“Saya masih menunggu laporan penuh dan penilaian terhadap insiden yang berlaku. Kami akan melakukan apa cara juga pun supaya insiden ini tak berlaku lagi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Oktober 2018 @ 10:14 PM